Siakap Keli
BERNAMA

Isteri, Dua Anak Lelaki Bekas CEO Cradle Fund Bakal Dituduh Di Mahkamah

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) — Isteri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini berhubung kes pembunuhan suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, berkata turut didakwa berhubung kes itu adalah dua anak lelakinya berumur 15 dan 17 tahun dan seorang lagi masih bebas pada pukul 2.00 petang ini.

“Pihak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan terhadap mereka.

“Tiga individu itu ditahan di kediaman mereka pukul 6.45 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata bahawa polis telah menyerahkan laporan siasatan hasil bedah siasat kedua Nazrin kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Feb lepas.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt 2018 membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Editor: Fazidi

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di