Siakap Keli

(Video)”Kalau Tak Tolong, Mereka Mati”, Kisah Petani Angkut Air Untuk Selamatkan Hidupan Liar Ketika Musim Kemarau

Kerana kasihankan haiwan-haiwan di Taman Negara Tsavo Barat di Kenya yang mungkin berada dalam keadaan kehausan akibat musim panas, seorang lelaki sanggup menghabiskan masanya mengangkut beribu-ribu liter air untuk mengisi kawasan takungan air di taman negara tersebut.

Patrick Kilonzo Mwalua menghantar bekalan air sebanyak 3,000 gelen, 4 kali seminggu yang memberi manfaat kepada hidupan liar seperti kuda belang, gajah, kerbau liar dan antelope.

Malah, Patrick mungkin dianggap sebagai penyelamat oleh haiwan-haiwan ini yang pantas mengerumuninya sebaik sahaja mendengar bunyi deruman enjin lori yang dipandunya menghampiri kawasan tersebut.

”Tiada air langsung di sini. Haiwan-haiwan ini bergantung kepada bantuan manusia. Jika kita tidak membantu, pasti mereka semua akan mati,” Mwalua ketika seorang diri menghantar bekalan tersebut.

Taman negara berkenaan biasanya tidak menerima pelancong ketika musim panas melampau.

Mwalua juga berkongsi kisah dimana dia melihat anggaran sebanyak 500 ekor kerbau menunggunya di kawasan takungan air dalam keadaan dahaga.

”Apabila saya tiba, kerbau-kerbau ini macam dapat hidu bau air. Terus sahaja lori saya dihampiri kerbau-kerbau ini,” katanya.

Ujarnya, dia mula menghantar air ke kawasan taman negara tersebut apabila berlaku perubahan cuaca sejak pertengahan tahun 2016.

Katanya sebagai petani kacang, dia melihat haiwan-haiwan ini mati kehausan dan merasakan ia adalah tanggungjawabnya untuk membekalkan air kepada haiwan-haiwan tersebut.

”Tanah ini tidak lagi menerima hujan seperti biasa. Jadi, sejak itulah saya menghantar air untuk haiwan-haiwan ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Mwalua juga menubuhkan sebuah yayasan yang bekerjasama dengan penduduk setempat bagi melindungi haiwan-haiwan ini.

”Saya dilahirkan di sini, dengan hidupan-hidupan liar ini. Jadi, sudah wujud kasih sayang antara saya dengan hidupan liar. Saya perlu menanamkan kesedaran dalam kanak-kanak bahawa ini adalah legasi mereka,” katanya lagi.

Mwalua dalam perancangan untuk menambah bilangan trak air supaya lebih banyak kawasan takungan air yang kosong ketika kemarau dapat diisi dan memberi manfaat kepada hidupan-hidupan liar.

Demi legasinya, Mwalua tetap akan meredah padang pasir dan debu 4 kali seminggu demi berkongsi air dengan hidupan-hidupan liar di Taman Negara Tsavo Barat.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=Uh6V1wne5OY]

 

Sumber: The Dodo

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.