Siakap Keli

Jonathan Si Kura-Kura Catat Rekod, Jadi Haiwan Darat Tertua Di Dunia

Jonathan Si Kura-kura ini diiktiraf sebagai haiwan darat tertua di dunia, setakat diketahui, pada usianya yang mencecah 187 tahun pada 2019.

Dipercayai lahir pada 1832, Jonathan di sepanjang hidupnya sudah melalui pelbagai peristiwa penting dunia antaranya dua peristiwa perang dunia, Revolusi Rusia, tujuh pertukaran monarki Britain dan pelantikkan 39 Presiden Amerika Syarikat.

Rekod yang dipegang Jonathan cuma kurang satu tahun daripada pemegang rekod kura-kura paling tua di dunia, Tu’i Malila yang berjaya hidup hingga ke usianya yang ke 188 tahun.

Tu’i Malila adalah milik Raja Tonga yang memeliharanya daripada tahun 1777 hingga 1965. Kura-kura berkenaan dihadiahkan oleh seorang penjelajah terkenal, Kapten James Cook kepada penguasa wilayah Tonga ketika itu.

Jonathan juga dilahirkan ketika setem pertama di dunia dilancarkan, iaitu setem Penny Black (postage stamp) pada 1840, pembinaan menara pencakar langit pertama (1885), dan penyempurnaan pembinaan Menara Eiffel (1887).

Antara pencapaian manusia dalam tempoh berkenaan adalah peristiwa pengambilan gambar pertama manusia (1838), penciptaan mentol lampu (1878) dan pesawat enjin pertama (1903).

1882

Selain menjadi haiwan darat tertua di dunia, Jonthan juga merupakan hidupan darat tertua di dunia mengatasi rekod yang dipegang oleh Manusia Tertua Di Dunia (diiktiraf), Jeanne Calment yang meninggal dunia pada usia 122 tahun.

Jonathan merupakan kura-kura yang berasal daripada wilayah Pulau Seychelles sebelum dipindahkan ke Pulau St. Helena di Atlantik Selatan pada 1882. Ketika itu, penyelidik menganggarkan bahawa Jonathan sudahpun berusia 50 tahun.

Ketika ini, dianggarkan hanya terdapat sekitar 80 ekor kura-kura yang berkongsi spesis yang sama dengan Jontathan. Kura-kura ini merupakan spesis Aldabra Atoll yang merupakan spesis hidupan yang terancam.

Berjaya melepasi usia purata seekor kura-kura iaitu pada 150 tahun, keadaan kesihatan Jonathan bagaimanapun semakin merosot antaranya hilang keupayaan melihat dan deria bau yang semakin tidak sensitif.

Sumber: Guinness World Record

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.