Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kerajaan Beri Amaran Ibu Bapa Abai Anak Akan Dikenakan Tindakan

Kerajaan memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak melakukan kecuaian dan pengabaian terhadap anak-anak mereka sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata terdapat peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak yang membolehkan ibu bapa dikenakan tindakan sekiranya berbuat demikian.

“Menjadi satu trend juga bagi ibu bapa meninggalkan anak mereka di dalam kereta seperti pergi menambah nilai kad Touch ‘n Go. Jangan tinggalkan anak seorang di dalam kenderaan, walaupun dalam masa lima minit kerana ianya sangat bahaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita 2019 peringkat negeri Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung dan Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (Jasmine), Datin Nora Mohd Som.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan berseorangan di dalam sebuah rumah dengan pintu berkunci di Taman Hijrah, di Kangar, Perlis, sejak Rabu lepas.

Yeoh berkata jelas terdapat unsur pengabaian dalam kes berkenaan dan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sudah berada di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kes itu masih dalam siasatan pihak polis, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai siapa yang salah,” katanya.

Sementara itu, mengenai garis panduan baharu bagi mengendalikan golongan autisme termasuk oleh polis, Yeoh berkata terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) sedang dipertimbangkan.

“Antara isu yang dibangkitkan adalah bunyi atau muzik yang kuat jadi, SOP untuk polis adalah isu siren kereta selain sama ada kita akan guna gari atau tidak kepada golongan autisme yang ditahan serta keperluan untuk membenarkan mereka membawa barangan khas yang boleh menjadikan mereka selesa,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah JKM dan pihak polis sudah melakukan perbincangan dan sedang mengadakan bengkel bagi memantapkan SOP pengendalian golongan autisme.

— BERNAMA

Nur Farra