Siakap Keli

Pakistan Gagalkan Percubaan Kapal Selam India Masuk Perairannya

Pakistan pada Selasa menggagalkan percubaan sebuah kapal selam milik Tentera Laut India untuk memasuki perairannya di selatan pesisir negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan media sayap tentera Pakistan, Inter-Services Public Relations (ISPR).

Menurut ISPR, kapal selam India cuba memasuki perairan Pakistan dari Laut Arab namun kakitangan Tentera Laut Pakistan berjaya mengesan kedudukannya dan memaksa ia berundur kembali ke perairan India.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Tentera Laut Pakistan berkata kejayaan itu adalah bukti kemahiran unggul yang dimiliki tentera laut negara tersebut.

“Tentera Laut akan terus mempertahan sempadan perairan Pakistan. Pasukan itu memiliki keupayaan untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan,” katanya.

Beliau berkata Pakistan berpegang teguh kepada dasarnya untuk mengekalkan keamanan dan India juga harus berusaha ke arah itu selepas insiden pencerobohan kapal selam tersebut.

Hubungan Pakistan dan India tegang selepas insiden serangan bunuh diri yang menyasarkan pasukan keselamatan India di Kashmir dikuasai India pada 14 Feb.

Tentera kedua-dua pihak turut berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan selain terlibat dalam pertempuran udara.

— BERNAMA

Nur Farra