Siakap Keli
Gambar Hiasan

Isu Kuil: Tan Sri Bebas, Dua Lagi Lanjut Reman

Seorang lelaki bergelar ‘Tan Sri’ yang direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah milik Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur, dibebaskan hari ini.

Majistret Noraisyah Mohd Yusof membenarkan lelaki berusia 75 tahun yang juga anggota pengurusan tertinggi sebuah kuil di Batu Caves, Selangor itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tempoh reman dua lagi suspek termasuk anak tan sri itu dilanjutkan sehari lagi sehingga esok.

Kesemua mereka telah direman tiga hari bermula Selasa,  sejurus ditahan SPRM pada petang sebelumnya.

Sumber SPRM memberitahu penahanan itu adalah susulan serbuan ke atas rumah tan sri berkenaan pada petang tersebut selain penggeledahan yang dilakukan di pejabat pengurusan kuil di Batu Caves.

Difahamkan, ketiga-tiga individu yang berumur  45 hingga 75 tahun itu bertanggungjawab menguruskan sebuah kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah.

Terdahulu, tan sri itu tiba di Mahkamah Majistret dengan berkerusi roda dan berpakaian reman SPRM.

— BERNAMA

Nur Farra