Siakap Keli
Gambar Kredit Sufian Md Zin

Penyewa PPR Taman Manggis Langgar Syarat Penyewaan Diarah Kosongkan Rumah

Lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini yang diarahkan mengosongkan unit masing-masing baru-baru ini adalah kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang  Chow Kon Yeow, berkata arahan itu juga dibuat berdasarkan konsep PPR yang membenarkan penyewa mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan, iaitu selama lima tahun sahaja.

“Tempoh penyewaan bantuan PPR hanya diberikan selama lima tahun kepada penyewa namun majoriti penduduk yang diusir telah menetap di situ selama 10 hingga 11 tahun.

“PPR adalah bantuan sewa rumah untuk tempoh lima tahun sahaja dan dalam lima tahun ini penyewa-penyewa diharap dapat menaiktaraf diri dari segi pendapatan dan pekerjaan supaya mereka mampu untuk menyewa rumah yang lain atau membeli rumah sendiri, “ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata pihaknya turut mendapati ada  penduduk yang melanggar syarat-syarat yang lain seperti tunggakan bayaran sewa, jumlah pendapatan melebihi kelayakan, status kewarganegaraan serta  syarat-syarat lain yang telah ditetapkan.

Ekoran itu  Chow  berkata tindakan terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak mendapatkan kemudahan tersebut. Beliau berkata  senarai menunggu kini mempunyai  lebih 400 pemohon yang telah menunggu sejak 11 tahun yang lalu.

“Pihak kerajaan negeri akan meneliti rayuan untuk kes-kes yang sahih tetapi perlu diingatkan, penguatkuasaan tidak akan terjejas biarpun penduduk berdemonstrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan lebih 20 penyewa yang  berhimpun bagi membantah arahan pengosongan unit masing-masing di PPR Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, dekat sini.

Terdahulu, perhimpunan membabitkan penyewa yang diarah mengosongkan unit mereka itu bertukar kecoh apabila pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri bertindak mengunci rumah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengambil alih perkhidmatan feri selepas pihaknya menjalankan kajian, termasuklah faktor operasi pengangkutan awam itu.

“Kerajaan negeri telah melakukan kajian kos operasi dan sebagainya, didapati jika perkhidmatan feri dipakej dengan pengoperasian pelabuhan Pulau Pinang ((Pelabuhan Swettenham Pier) , maka ia merupakan perniagaan yang menguntungkan. Tetapi sekiranya dipecahkan seperti sekarang, perkhidmatan feri tidak lagi mampan dan mengalami kerugian sehingga RM10 hingga RM15 Juta setahun,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan negeri berharap perkhidmatan feri yang kini dikendalikan oleh RapidFeri iaitu sebuah anak syarikat Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dapat memperbaiki dan memulihkan semula operasi pengangkutan awam yang menghubungkan bahagian pulau ke Seberang Perai ,” katanya.

Sementara itu Chow berkata  kerajaan negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhasrat menjalankan pembenihan awan bagi memastikan kapasiti takungan air di empangan mencukupi sepanjang cuaca panas dan kering.

Bagaimanapun, katanya, cadangan pembenihan awan itu perlu diputuskan pihak PBAPP selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa pakar berkaitan, selain pemantauan keadaan semasa turut dijalankan mereka.

— BERNAMA

Nur Farra