Siakap Keli

Surirumah Tinggal Berdekatan Sungai Kim Kim Dakwa Hidu Bau Busuk Sejak 3 Pagi

Seorang surirumah yang tinggal berdekatan Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, mendakwa dia sudah terhidu bau busuk di dalam rumahnya sejak 3.00 pagi semalam.

Echa Anak Paoh, 42, yang juga ibu Harry Martin Anak Ebom iaitu seorang daripada pelajar lelaki yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, berkata dia terjaga dari tidur sebelum menyangkakan bau terbabit akibat kerosakan penghawa dingin rumahnya.

“Saya kemudian menuju ke dapur kerana menyangkakan ia dari gas dapur. Saya membuka kipas, namun, lebih kuat kipas memusing, lagi kuat bau yang timbul… seperti bau petrol atau tayar dibakar,” katanya yang ditemui pemberita pada lawatan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, di hospital berkenaan, hari ini.

Echa berkata bau berkenaan membuatkan dia tidak dapat tidur sehingga pagi selain kerongkongnya berasa gatal dan haus.

“Suami saya pun berasa begitu. Anak saya (Harry Martin) kemudian pergi sekolah melalui sungai (Sungai Kim Kim). Tidak tahu bagaimana, tiba-tiba cikgunya menghubungi saya pada 10.30 pagi semalam menerusi WhatsApp meminta saya mengambil anak,” katanya.

Echa berkata dia kemudian bergegas ke sekolah, namun, dimaklumkan Harry Martin sudah dibawa ke HSI bagi rawatan.

Harry Martin, 17, yang juga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih pula berkata dia dan rakan sekelas sepatutnya menjalani kelas Pendidikan Jasmani, pagi semalam, sebelum dimaklumkan gurunya bahawa aktiviti berkenaan dibatalkan disebabkan udara kotor.

“Cikgu kemudian isytihar supaya balik ke rumah dan setelah itu barulah saya berasa pening secara tiba-tiba, mual dan muntah lalu dibawa menaiki ambulans ke sini (HSI). Hari ini saya sudah berasa sihat sedikit,” katanya.

Intisar Nazihah Mohd Nazri, 16, pelajar perempuan sekolah sama, pula berkata dia berasa mahu muntah semasa di rumah, sebelum ibunya membawanya ke HSI kira-kira 9.30 malam tadi.

“Semasa kat sekolah… semasa sedang belajar, rasa pening biasa sahaja. Bila sudah balik rumah, baru rasa nak muntah-muntah. Saya dimasukkan ke wad kira-kira 1.00 pagi dan setakat ini pihak hospital sudah mengambil ujian darah untuk pemeriksaan,” katanya.

Semalam, 1,400 pelajar SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, diarah mengosongkan kawasan sekolah selepas terdapat pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai dari bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Setakat ini, 39 mangsa termasuk 21 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih serta orang awam sedang dirawat di HSI, selepas terhidu gas itu.

— BERNAMA

Nur Farra