Seorang anggota bomba menjadi saksi kepada peristiwa yang membuktikan bahawa haiwan juga mempunyai sifat pengasih dan penyayang, dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Brooklyn, Amerika Syarikat, pada 2007.
Ketika itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke sebuah rumah yang sedang terbakar. Dalam saat mereka bertungkus-lumus memadam api yang sedang marak, salah seorang anggota bomba berkenaan, David Gianelli melihat seeokor ibu kucing dalam keadaan susah payah sedang membawa keluar anak-anak kecilnya.
Satu per satu. Lima ekor semuanya. Menurut anggota bomba tersebut, dia melihat ibu kucing tersebut berada dalam keadaan sangat menyedihkan. Kulit dan bulu terbakar gara-gara disambar api.
Sebaik sahaja berjaya mengeluarkan anak-anaknya, si ibu kucing berkenaan dilihat menjolat bulu-bulu anak-anaknya satu per satau, mungkin ingin memastikan kucing-kucing berkenaan berada dalam keadaan baik. Tidak lama kemudian, ibu kucing tersebut pun rebah.
Melihat keadaan itu, sebaik tugasnya selesai. David kemudian bergegas mendapatkan keluarga kucing berkenaan sebelum membawanya ke sebuah klinik haiwan berdekatan, The North Shore Animal League untuk mendapatkan rawatan.
Malangnya, salah seekor anak kucing berkenaa mengalami kecederaan teruk dan mati ketika dirawat. Manakala ibu kucing, yang diberi nama Scarlett bersama 4 lagi anaknya berjaya sembuh dan dibela oleh keluarga David. Namun yang pasti, Scarlett membawa parut akibat luka terbakar pada wajah buat selama-lamanya.
Kisah kucing ini kemudian menjadi bualan masyarakat hingga merentas sempadan. Pelbagai ucapan dan pujian diberikan kepada ibu kucing ini. Malah, dia turut menerima hadiah dan lebih 7,000 kiriman surat daripada pencinta haiwan di seluruh dunia, antaranya daripada Jepun, Afrika Selatan dan Belanda.
Scarlett kemudian berpindah penjaga. Karen Wellen, yang juga seorang ‘survivor’ daripada kemalangan jalan raya mahu menjaga Scarlett dan keluarganya kerana merasakan mereka berdua mempunyai persamaan. Selain itu, Karen juga baru sahaja kehilangan kucing dan kehadiran Scarlett boleh menjadi pengubat rindunya.
Namun hayat Scarlett tidak panjang. Kucing ini meninggal setahun kemudian pada usianya yang ke-13 tahun. Bagi menghormati keberanian ibu kucing ini, The North Shore Animal League telah mewujudkan satu anugerah yang diberi nama ‘Scarlett Award for Animal Heroism’.
Anugerah ini diberikan kepada mana-mana haiwan yang menunjukkan sifat keberanian yang memberi manfaat kepada ahli keluarganya.
Walaupun kejadian yang menimpa Scarlett sudah lama berlalu, namun kisahnya sentiasa segar bagi sebahagian pencinta haiwan selain bukti bahawa haiwan juga mempunyai sifat kasih dan sayang.
Sumber: NDT TV