Siakap Keli

Warga Mesir Dan Tunisia Diusir Kerana Ancam Keselamatan Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia mengusir sekumpulan warganegara Mesir dan Tunisia ke negara asal mereka pada 5 Mac lalu kerana kehadiran mereka boleh mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata enam rakyat Mesir dan seorang warganegara Tunisia itu merupakan antara sembilan orang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang ditangkap antara 2 dan 9 Feb lalu dalam operasi Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Lembah Klang dan Sarawak.

Dua lagi yang ditangkap merupakan rakyat Malaysia.

Beliau berkata operasi dilancarkan setelah mendapat maklumat daripada beberapa agensi perisikan asing mengenai kehadiran beberapa suspek ‘foreign terrorist fighters’ yang menganggotai Ansar Al-Shariah Al-Tunisia, kumpulan gabungan Al-Qaeda yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Memandangkan kehadiran warga asing ini boleh menjejaskan keselamatan Malaysia, kesemua suspek berkenaan telah diusir ke negara asal mereka mengikut Seksyen 9(1) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Mac,” kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan hari ini.

Gambar : BERNAMA

Beliau berkata mereka turut dicadang disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia seumur hidup.

“Lima suspek warga Mesir yang ditangkap mengaku sebagai anggota Ikhwanul Muslimin yang bertindak sebagai fasilitator dalam menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, pekerjaan dan membantu membeli tiket penerbangan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al Tunisia,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau merujuk kepada penangkapan dua anggota kumpulan pengganas itu, masing-masing warga Mesir dan Tunisia berusia 21 dan 22 tahun, di Kuala Lumpur pada 4 Feb lalu.

Memberikan butiran tangkapan pada 2 Feb di Serian, Sarawak, Mohamad Fuzi berkata ia melibatkan seorang lelaki warga Mesir serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Malaysia, ketiga-tiganya berusia 20 hingga 54 tahun.

Tangkapan pada hari sama di Setapak, Kuala Lumpur melibatkan seorang lelaki warga Mesir berusia 42 tahun yang merupakan tenaga pengajar di sekolah agama di ibu negara.

Tangkapan seterusnya pada 2 Feb dibuat di Bukit Bintang di sini melibatkan warga Mesir berusia 24 tahun yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang manakala seorang lagi warga Mesir berusia 28 tahun – pelajar institusi pengajian tinggi di Pantai Timur – ditangkap di Seri Kembangan, Selangor.

Tangkapan pada 9 Feb di Ampang, Selangor melibatkan lelaki warga Mesir berusia 50 tahun yang bekerja sebagai guru bahasa Arab.

“Operasi ini juga adalah susulan kepada operasi Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas pada April dan November 2018 yang mana dua warga Mesir yang merupakan anggota Ikhwanul Muslimin Mesir ditangkap dan diusir kerana terlibat dalam kumpulan pengganas Islamic State serta Al-Qaeda,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau seterusnya berkata mereka yang ditangkap dalam operasi Februari lalu itu disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Ketua Polis Negara berkata siasatan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas mendedahkan elemen ‘foreign terrorist fighters’ cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘safe haven’, destinasi transit dan pangkalan logistik dengan menyusup masuk masuk ke negara ini melalui pelbagai kaedah.

“Penyusupan masuk foreign terrorist fighters ke negara ini harus dipandang serius terutama berikutan kekalahan kumpulan Islamic State di Syria dan Iraq,” katanya.

Kehadiran mereka juga, katanya, boleh menjurus kepada Malaysia menjadi pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau melancarkan serangan di negara ini sendiri.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.