Siakap Keli

Isu Tanah Wakaf, Meroboh Tindakan Terakhir Selepas 10 Tahun Berunding

Tindakan merobohkan rumah penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder di Butterworth dekat sini minggu lepas merupakan jalan terakhir yang terpaksa diambil selepas lebih 10 tahun melalui proses perundangan dan perbincangan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim hari ini berkata tindakan meroboh itu bukannya dibuat secara melulu atau tanpa mengambil kira lunas-lunas kemanusiaan.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan perintah mahkamah, malah penduduk juga sudah diberi ruang dan peluang untuk mengosongkan kediaman masing-masing sebelum tindakan (meroboh ini) diambil,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MAINPP di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang membidas tindakan MAINPP meroboh rumah penduduk di tanah wakaf itu yang disifatkan zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Beberapa petugas MAINPP cedera dan seorang anggota polis patah kaki selepas diserang sekumpulan penduduk yang cuba menghalang operasi meroboh kediaman di kawasan itu Khamis lepas.

Berikutan kejadian itu, polis bertindak menahan 11 penduduk pada hari berkenaan yang disyaki mencetuskan kekecohan dan menyerang petugas-petugas yang terlibat, sebelum 10 daripada mereka dilepaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.

Seorang daripada penduduk itu didapati positif mengambil dadah dan ditahan lanjut kerana menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis itu.

Sementara itu, Abdul Malik berkata seorang lagi penduduk telah diberikan notis sehingga 25 Mac ini untuk mengosongkan kediamannya di situ sebelum kerja-kerja meroboh dijalankan selepas tarikh berkenaan.

Menurutnya perintah pengosongan itu dikeluarkan bagi membolehkan MAINPP memulakan pembangunan perumahan di kawasan itu yang mana beberapa unit turut ditawarkan kepada pemilik-pemilik rumah yang terpaksa dirobohkan itu.

Isu tanah wakaf itu turut mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad namun sehingga kini, Abdul Malik berkata MAINPP masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Perdana Menteri susulan lawatan Setiausaha Politiknya, Abu Bakar Yahya ke situ baru-baru ini.

— BERNAMA

Nur Farra