Siakap Keli

Lateks Dan Sisa Plastik Mampu Panjangkan Jangka Hayat Jalan Raya

Plastik diketahui umum sebagai ancaman serius kepada alam sekitar, namun terdapat cara baharu untuk memaksimumkan penggunaannya, iaitu dijadikan sebagai turapan jalan raya.

Malaysia sedang menjalankan kajian penggunaan sisa plastik sebagai komponen yang dicampurkan dengan asfalt bagi menurap jalan raya.

Negara lain seperti India telah menguji kaedah itu dan mendapat hasil positif dengan jalan-jalan raya di negara itu terbukti lebih kukuh dan tahan lebih lama.

Kaedah penurapan menggunakan asfalt konvensional dikatakan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa menyebabkan jangka hayat jalan menjadi lebih pendek, sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraan jalan-jalan Malaysia.

Asfalt adalah campuran bitumen (berwarna hitam dan sangat pekat sebagai bahan pengikat) dengan agregat (pasir, batu kerikil dan batu hancur) yang digunakan untuk menurap jalan.

Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kajian yang menggunakan teknologi penurapan asfalt dicampur dengan dua bahan berbeza – sama ada sisa plastik atau susu getah asli (lateks).

Bahan-bahan itu digunakan di dua tapak kajian iaitu di jalan Persekutuan FT3 di Chukai, Kemaman, Terengganu dan FT98 di Kerdau, Temerloh, Pahang.

Gambar Hiasan

DUA TAHUN PEMANTAUAN

Di Kemaman, tiga jenis bahan turapan digunakan iaitu asfalt bercampur sisa plastik di jalan selorong sepanjang 615 meter (m) , asfalt lateks di jalan selorong sepanjang 990 m dan asfalt mastik lateks di jalan selorong sepanjang 1,330 m.

Perbezaan antara asfalt lateks dengan asfalt mastik lateks adalah jenis campuran batu yang digunakan sama ada batu halus atau kasar. Turapan asfalt mastik lateks adalah lebih kasar daripada turapan asfalt lateks.

Ketua Makmal Penyelidikan Jalan CREaTE, Ir Mohd Hizam Harun berkata ketiga-tiga turapan itu siap dilaksanakan pada Oktober 2018 dengan hasil kajian dijangka dirumuskan selepas dua tahun pemantauan tapak.

Beliau turut memberi taklimat kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dan pengurusan tertinggi kementerian yang melawat tapak kajian ketika program jelajah FTRoadpedia ke pantai timur baru-baru ini.

Mohd Hizam berkata kajian awal dimulakan di Kerdau, Temerloh pada September 2017. Turapan pertama campuran asfalt plastik adalah di jalan selorong sepanjang 175 m dan asfalt yang dicampur lateks pula diturap di jalan selorong sepanjang 645 m.

Kaedah pembaikan yang digunakan di kedua-dua tapak kajian itu adalah “mill and pave” iaitu membuang satu lapisan sedia ada yang rosak setebal 50 milimiter (mm) dan menggantikannya dengan turapan baharu menggunakan asfalt campuran sama ada sisa plastik atau lateks.

Gambar Hiasan

INDIA JADI CONTOH

Asfalt menggunakan campuran sisa plastik bukanlah suatu teknologi baharu.

India menggunakan kaedah itu sejak 15 tahun lalu dengan menurap jalan raya sepanjang 25,000 kilometer (km) menggunakan campuran sisa plastik. Turapan jalan menggunakan asfalt campuran sisa plastik dikatakan lebih berdaya tahan berbanding asfalt konvensional.

Indonesia juga menjalankan kajian penggunaan sisa plastik sebagai bahan campuran asfalt pada 2017 di satu daripada jalan di Bali.

“Turapan dua lorong sepanjang satu kilometer memerlukan kira-kira empat ribu kilogram sisa plastik, pada harga RM3.50 sekilogram,” katanya.

Formula campuran yang digunakan sama seperti formula asfalt sisa plastik yang dibangunkan di India.

Sekiranya terlalu banyak sisa plastik dicampurkan, ia akan menyebabkan turapan menjadi lembik dan mudah terbentuk lekukan.

“Semasa percubaan pertama di Temerloh, kami menggunakan tiga lori asfalt untuk menurap sepanjang 175 m jalan (selorong). Daripada pemantauan awal, memang nampak positif,” katanya.

Menurutnya sekiranya kajian yang dijalankan itu terbukti boleh menghasilkan turapan lebih berdaya tahan berbanding asfalt konvensional, sudah tentu ia memerlukan jumlah sisa plastik yang banyak.

Di Malaysia, sisa plastik yang boleh digunakan untuk keperluan industri adalah hanya 2 peratus manakala selebihnya perlu diimport dari luar seperti United Kingdom dan Australia.

“Sisa plastik yang ada di negara ini bercampur dengan sisa makanan. Kita hanya boleh guna semula sisa plastik yang tidak bercampur makanan,” jelasnya.

Mohd Hizam memberitahu bahawa kajian itu menggunakan sisa plastik yang dibeli dari sebuah kilang di Kuantan di mana mereka memproses plastik yang dibuang oleh kilang-kilang dan pusat beli-belah, bukannya dari tempat pembuangan sampah.

Sisa plastik yang diperoleh kemudian dipotong kecil-kecil sebelum digaul dengan batu-batan yang dipanaskan menyebabkan kepingan plastik itu cair dan membaluti batu-batan tersebut. Kemudian, batu-batan yang bersalut plastik itu digaul pula dengan bitumen untuk menghasilkan asfalt sisa plastik.

Gambar Hiasan

“Asfalt memiliki ikatan yang lebih kuat antara batu-batan dan bitumen serta mempunyai rintangan lebih tinggi terhadap air.

“Jika menggunakan asfalt konvensional, air lazimnya dapat melemahkan ikatan itu dan menjadi satu daripada punca kerosakan pada permukaan turapan jalan seperti pembentukan keretakan atau lopak,” katanya.

RINTANGAN LEBIH KUAT

Kajian lateks yang dijalankan di dua lokasi sama dikatakan dapat merubah dan menambah baik ciri-ciri bitumen – menjadikannya lebih elastik dan sukar menjadi lembut ketika terdedah pada cuaca panas serta tidak mudah berubah bentuk apabila ditekan beban trafik yang tinggi.

Kajian itu mengguna pakai kaedah yang mencampurkan lateks dengan bitumen hingga sebati. Lateks dibeli dari sebuah kilang di Johor Baharu pada harga RM6.50 seliter.

“Campuran lateks yang digunakan hanya 2.5 peratus daripada berat bitumen. Tidak perlu banyak,” kata Mohd Hizam.

Bagi penurapan jalan dua lorong sepanjang 1000 m, campuran yang diperlukan adalah antara 1,000 hingga 2,000 liter lateks.

Dapatan awal kajian itu menunjukkan jalan yang diturap dengan lateks mempunyai rintangan lebih kuat terhadap pembentukan keretakan serta lekukan pada permukaan jalan khususnya di laluan roda kenderaan.

Mohd Hizam menerangkan walaupun harga lateks lebih mahal berbanding sisa plastik, ia tidak memberi kesan peningkatan kos yang ketara sebaliknya dapat menggalakkan penggunaan komoditi selain menggiatkan lagi industri getah negara ini.

Sebelum ini, kajian asfalt menggunakan getah beku oleh Lembaga Getah Malaysia juga dijalankan di beberapa tapak kajian seperti di Tampin (Negeri Sembilan), Temerloh (Pahang) dan Baling (Kedah).

Kajian awal itu mendapati turapan menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) boleh tahan lebih lama berbanding jalan konvensional.

Bagaimanapun, belum dapat dibandingkan sama ada lateks atau getah beku yang berkesan meningkatkan daya ketahanan jalan, memandangkan kajian itu masih di peringkat awal.

“Sekiranya keputusan kajian ini positif, Jabatan Kerja Raya akan membawanya ke peringkat Kementerian Kerja Raya bagi membolehkan kontraktor dilantik mengguna pakai bahan itu,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.