Siakap Keli

Nahas Ethiopian Airlines: Boeing Janjikan Bantuan Teknikal

Gergasi pembuatan pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing, pada Ahad berjanji untuk menawarkan bantuan teknikal kepada Ethiopia susulan nahas pesawat milik Ethiopian Airlines yang terhempas sejurus berlepas, lapor agensi berita China Xinhua.

“Satu pasukan teknikal Boeing akan berlepas ke lokasi nahas untuk memberikan bantuan di bawah arahan Biro Penyiasatan Kemalangan Ethiopia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS,” menurut Boeing dalam satu kenyataan ringkas.

Ia turut mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang menaiki Penerbangan 302 (ET 302) itu.

Gambar : Mirror.Co.UK

Pesawat jenis Boeing 737-800 MAX itu, yang membawa 157 penumpang dan anak kapal terhempas pada awal pagi Ahad ketika dalam perjalanan ke Nairobi, Kenya, menyebabkan semua yang berada di dalamnya terkorban.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam, memaklumkan satu sidang akhbar di Ethiopia bahawa penumpang Penerbangan ET 302 itu terdiri daripada warganegara dari lebih 30 negara.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.