Siakap Keli
Gambar Hiasan

Pengusaha Taska Perlu Periksa Kesihatan Kanak-Kanak Sebelum Mengasuh

Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) dinasihatkan supaya memeriksa tahap kesihatan kanak-kanak sebelum menerima mereka daripada ibu bapa untuk diasuh.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Ruhaini Zawawi berkata pengusaha taska yang berdaftar berhak menolak untuk mengasuh kanak-kanak yang disyaki atau didapati mempunyai penyakit berjangkit seperti demam, selesema atau demam campak.

Beliau berkata mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di bawah Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012, pengusaha boleh pada bila-bila masa enggan menerima masuk mana-mana kanak-kanak yang disyaki telah dijangkiti penyakit berjangkit sehingga diperakui sihat oleh pegawai perubatan.

“Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska terutamanya perlu memastikan anak-anak itu sihat sebelum diserahkan kepada penjaga.

“Ini adalah bagi memastikan tidak ada elemen salah-menyalah jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke taska di Bandar Seri Botani di sini hari ini.

Taska terbabit pada Sabtu lepas dikaitkan dengan kematian seorang bayi berumur tiga bulan.

Bagaimanapun hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian bayi tersebut adalah disebabkan paru-paru berair, sehubungan itu tiada tangkapan serta rampasan dilakukan dan pihak polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan yang diambil JKM terhadap taska berkenaan Ruhaini berkata taska terbabit ditutup sehingga akuan pendaftaran selesai diperbaharui.

Katanya, taska yang telah beroperasi sejak lima tahun itu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh JKM.

“Daripada pemeriksaan premis yang dilakukan JKM berpuas hati…segalanya mengikut apa yang diperlukan untuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan.

“Taska ini belum mendapat akuan pendaftaran daripada JKM bagi tahun ini kerana sedang melakukan ubah suai di bahagian lantai, disebabkan itu pihak pengusaha belum mendapat kelulusan daripada agensi terlibat,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra