Siakap Keli

Rekod Sempurna Ole Gunnar Solskjaer Lebur Di Tangan The Gunners

Ole Gunnar Solskjaer, pengendali sementara gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengalami kekalahan pertamanya di tangan Arsenal awal pagi tadi sejak mengambil alih jawatan pengurus pasukan yang ditinggalkan oleh Jose Mourinho.

Satu gol daripada Granit Xhaka di separuh masa pertama dan sepakkan penalti daripada penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang di separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan 3 mata kepada Uney Emery dan anak buahnya sekaligus memastikan kedudukan 4 teratas liga masih dalam genggaman.

Solskjaer sebelum ini berjaya mengemudi skuad The Red Devil yang terumbang-ambing untuk melakukan kebangkitan luar biasa dalam liga dengan mencatatkan 10 kemenangan dan 2 seri.

Paling diingati adalah perlawanan menentang PSG baru-baru ini dalam Liga Juara-Juara Eropah apabila skuadnya berjaya menterbalikkan defisit 2 gol awal dengan memenangi perlawanan 3-1 di tempat lawan untuk melangkah ke pusingan suku akhir menerusi kelebihan agregat.

Turun dengan skuad tempang apabila dikhabarkan sekurang-kurangnya 10 orang pemain cedera, pemain-pemain United dilihat sedikit lesu untuk menahan asakkan demi asakkan yang diberi oleh Ozil dan rakan-rakannya di atas padang selama 90 minit.

”Kami perlu melaluinya sehingga penghujung perlawanan, tetapi kami sedikit tidak bersedia dan hari ini adalah salah satu hari dimana anda dikecewakan,” kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.

Sembilan kemenangan berturut-turut Arsenal di laman sendiri berjaya meletakkan mereka di posisi ‘asal’ di tangga ke-4 liga dengan 60 mata, 1 mata di belakang musuh setempat, Tottenham Hotspur.

Berbaki 8 perlawanan, perebutan takhta liga paling menghiburkan di dunia ini lebih terarah kepada aksi ditampilkan oleh penyandang juara, Manchester City dan gergasi bola sepak Inggeris yang dahagakan trofi, Liverpool.

Sumber: CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.