Siakap Keli
Gambar: Business Insider

China, Indonesia Dan Ethiopia Gantung Semua Operasi Pesawat Jenis Boeing 737 Max 8

China, Indonesia dan Ethiopia telah mengambil langkah drastik apabila menggantung kesemua operasi pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 susulan daripada nahas yang berlaku pada ahad lalu.

Nahas yang melibatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu telah mengorbankan 157 nyawa dan ianya merupakan nahas kedua yang melibatkan pesawat jenis yang sama.

Oktober lalu, pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan tambah murah, Lion Air, telah terhempas mengorbankan 189 nyawa kerana mengalami masalah teknikal sejurus selepas pesawat itu berlepas.

Nahas yang berlaku pada ahad lalu telah mencetuskan pelbagai persoalan dan kesimpulan terhadap pesawat jenis itu apabila besar kemungkinan pesawat Ethiopia Airlines itu turut mengalami masalah yang sama berlaku pada pesawat Lion Air yang terhempas 5 bulan lalu.

Walau bagaimanapun pegawai penyiasat masih tidak mengeluarkan apa-apa kesimpulan lagi kerana siasatan masih lagi giat dijalankan untuk mengetahui punca sebenar nahas itu terjadi.

Berikutan dengan itu, Ethiopia Airlines dan kerajaan Indonesia telah menggantung semua operasi penerbangan yang melibatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu. China juga turut mengambil langkah yang sama apabila menggantung kesemua operasi penerbangan domestik yang membabitkan lebih 100 pesawat jenis yang sama milik syarikat penerbangannya itu susulan daripada nahas tersebut.

Beberapa syarikat penerbangan komersial yang lain seperti Cayman Airways turut mengambil langkah yang sama apabila mahu menggantung operasi 2 buah pesawat Boeing 737 miliknya itu. Syarikat penerbangan Cayman Airways itu juga turut menzahirkan salam takziah menerusi laman portalnya buat ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit.

Menurut The Verge, susulan daripada nahas Lion Air yang terhempas pada Oktober lalu, syarikat pengeluar pesawat gergasi Boeing telah membuat keputusan untuk memperbaharui perisian kesemua pesawat 737 MAX itu.

Pesawat yang terhempas pada ahad lalu merupakan pesawat yang pertama beroperasi pada hari itu. Salah seorang krew penerbangan itu sempat melaporkan kepada menara kawalan bahawa pesawat tersebut mengalami masalah teknikal sebelum pesawat itu terhempas sejurus selepas ia berlepas dari landasan.

Menurut satu tweet yang dibuat menerusi akaun Twitter milik Syarikat Boeing, mereka mengumumkan bahawa akan menangguhkan pelancaran pesawat terbaru keluarannya iaitu 777X bagi menghormati nahas yang mengorbankan nyawa 157 orang itu. Selain dari itu juga, Boeing turut menzahirkan salam takziah ke atas kedua-dua tragedi yang meragut nyawa melibatkan pesawat keluaran miliknya itu.

Pesawat 777X yang boleh memuatkan sehingga 425 orang penumpang itu dijadualkan akan beroperasi buat kali pertama pada 13 Mac ini sebelum syarikat Boeing itu memutuskan untuk menangguhkannya berikutan dengan nahas yang terjadi baru-baru ini . Pesawat itu juga merupakan yang terbesar dan menggunakan enjin berkembar yang paling cekap pernah dicipta.

Aqmal Ezany

I write what is right