Siakap Keli

Kepulangan Semula Zidane Untuk Selamatkan Raja Eropah Yang Sedang ‘Tempang’

Kepulangan semula bekas pemain lagenda Real Madrid dan jurulatih yang membawa pulang hatrik Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Zinedine Zidane ke pangkuan kelab gergasi La Liga itu seperti diumumkan awal pagi Isnin (waktu tempatan) adalah langkah tepat untuk menyelamatkan Raja Eropah yang sedang tenat ketika ini.

Dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan El Classico di tangan Barcelona sehingga Santiago Bernabeu dianggap sebagai padang latihan musuh tradisi itu dan disingkir oleh pasukan muda Ajax Amsterdam dalam saingan UCL, hanya mengundang pemecatan jurulatih sebelum ini, Santiago Solari.

Menurut Zidane, ‘baterinya sudahpun dicaj’ dan kini bersedia untuk mengembalikan semula kegemilangan kelab paling berjaya di peringkat Eropah itu. Menguatkan lagi kata-katanya, Zidane bersetuju untuk menandatangani kontrak dengan kelab sehingga Jun 2022.

”Saya tinggal di Madrid dan menjalani kehidupan harian di sini. Hari ini saya sudah bersedia untuk kembali dan saya mahu lakukannya,” kata Zidane.

”Ia sangat sukar untuk melihat keadaan kelab ini daripada luar. Kini saya memandang ke depan untuk bekerja dengan pemain-pemain ini lagi dan memburu kejayaan.

”Saya sangat gembira untuk kembali ke pangkuan kelab. Saya mahu bekerja dan mencari jawapan yang diperlukan untuk mengembalikan kelab ini ke tempat yang sepatutnya,” kata Zidane lagi.

Zidane sebelum ini pernah melatih skuad himpunan bintang itu bermula Januari 2016 selama 2 tahun setengah, meraih 9 trofi major termasuk gelaran La Liga 16/17 dan menjadi jurulatih pertama yang berjaya menjulang hatrik UCL.

Tidak mahu berselindung, Zidane berterus terang mengenai keadaan kelab dan apa yang perlu dilakukan.

”Kita perlu berubah. Presiden menghubungi saya dan mahukan saya kembali. Saya amat mencintai kelab ini dan disini saya kembali. 

”Real Madrid mempunyai baki 11 perlawanan liga dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenangi semuanya.

”Apabila kamu telah memenangi banyak gelaran bersama, ia adalah normal untuk kamu mempunyai zaman kejatuhan. 

”Saya memerhatikan dari luar, tapi sebahagiannya seolah-olah saya masih berada di sini. Saya tidak gembira dengan situasi kelab sekarang.

”Kita perlu segera mencarai ‘sesuatu’ yang telah hilang dari kelab. Pertamanya, perlu melihat apa yang kelab perlukan untuk waktu sekarang dan selepas itu, barulah bekerja untuk musim seterusnya,” katanya.

Sumber: Skysports

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.