Siakap Keli
Gambar Hiasan

Singapura Halang Pesawat Jenis Boeing 737 MAX 8 Terbang Di Ruang Udaranya

Singapura pada Selasa telah mengumumkan sekatan terhadap pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 daripada terbang memasuki atau keluar daripada ruang udaranya susulan kejadian yang menimpa Ethiopia Airlines baru-baru ini.

Jabatan Penerbangan Singapura (CAAS) dalam satu kenyataannya berkata, larangan tersebut bersifat sementara dan ia dibuat berikutan insiden kemalangan maut yang menimpa dua buah pesawat Boeing 737 MAX 8 dalam tempoh kurang lima bulan.

Pesawat Ethiopia Airlines dilaporkan terhempas hanya kira-kira 6 minit berlepas untuk menuju ke Nairobi, Kenya. Dalam kejadian berkenaan, kesemua 157 penumpang dan anak kapal disahkan terkorban.

Terdahulu, Oktober tahun lepas, pesawat jenis sama yang dimiliki Lion Air terhempas di Laut Jawa kira-kira 13 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta membunuh kesemua 189 penumpang dan anak kapal.

Secara keseluruhan jumlah yang terkorban dalam kedua-dua insiden berkenaan adalah seramai 346 orang.

Silk Air, syarikat pernerbangan serantau dibawah Singapore Airlines adalah antara pihak dalam negara yang menggunakan pesawat jenis tersebut.

”Dalam tempoh sekatan sementara itu, CAAS akan menjalankan pemantauan dan mengumpulkan maklumat mengenai risiko sekiranya pesawat berkenaan dibenarkan beroperasi semula.

”Sekatan ini akan dinilai semula apabila maklumat mengenai tahap keselamatan yang relevan sudah tersedia,” kata kenyataan itu lagi.

Kerajaan China pada Isnin telah mengarahkan kesemua syarikat penerbangan domestik untuk menggangtung penggunaan pesawat itu untuk sementara waktu.

Manakala syarikat Indonesia yang memiliki 11 buah pesawat yang sama dan Ethiopia Airlines turut mengambil langkah yang sama.

Sumber: Al-Jazeera

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.