Siakap Keli
Gambar : www.klia2.info

Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang Dijangka Bermula Jun 2020

George Town : Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijadualkan bermula pada Jun 2020, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

Katanya projek itu dijangka akan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan dan pihak perunding yang dilantik menerusi tender terbuka oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 15 Feb lepas kini sedang membuat kerja-kerja reka bentuk.

“Bagi menampung kos pembesaran LTAPP, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bersama-sama MAHB sedang mengkaji model pembangunan dan kaedah pembiayaan yang sesuai agar projek pembesaran ini dapat dilaksanakan dengan cara yang kos efektif,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan juga sedang mempertimbangkan beberapa opsyen untuk projek berkenaan dan ini termasuk membangunkan ruang tambahan untuk operasi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan penerbangan tambang murah di bangunan terminal sedia ada.

Menurutnya, pembangunan ruang tambahan itu akan dapat meningkatkan kapasiti pengendalian terminal LTAPP daripada 6.5 juta penumpang kepada 12 juta penumpang setahun.

Berhubung status cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim, Chow berkata cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) untuk penelitian kerajaan.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan masih belum membuat keputusan untuk meneruskan cadangan berkenaan.

“Saya pernah bangkitkan perkara ini dua minggu lepas dalam mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri. Keputusan yang dicapai adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook diarah untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang berhubung cadangan ini.

“Jadi, kita menunggu perbincangan selanjutnya oleh tiga pihak iaitu Menteri Pengangkutan, Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.