Siakap Keli

Anjur Dan Gagal Beri Pulangan Duit Kutu, Suri Rumah Didakwa

Seorang ‘ibu kutu’  didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menganjurkan permainan kutu dan gagal memberikan pulangan yang dijanjikan, dua tahun lepas.

S. Elavarasi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa telah menganjurkan permainan kutu kepada seorang wanita, Noor Rani, 26, sebanyak RM400 dan menjanjikan pulangan wang tunai sebanyak RM500 namun gagal berbuat demikian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Desaria, Jalan PJS 5/11, di sini, antara 29 Jan 2017 dan 20 Mac 2017 mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Wang Kutu 1971 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagaimanapun dia yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Nur Farra