Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dewan Rakyat Bahas Usul Tergempar Pencemaran Kimia Di Johor Petang Ini

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Dewan Rakyat akan membahaskan usul tergempar mengenai bencana pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Johor, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof berkata usul yang dikemukakan oleh anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim itu dibenarkan setelah ia memenuhi semua kriteria di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) iaitu merupakan perkara-perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan harus disegerakan.

Beliau menetapkan supaya usul tersebut dibahaskan selama 60 minit bermula 4.30 petang ini.

Terdahulu ketika membentangkan usul tersebut, Hassan menggesa supaya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan Pasir Gudang berikutan kesan buruk pencemaran itu terhadap penduduk di sekitar kawasan itu.

“Statistik-statistik jelas menunjukkan pencemaran bahan toksik yang bermula di kawasan Pasir Gudang dalam kawasan Parlimen Terbrau kini merebak luas ke kawasan Parlimen Pasir Gudang menjadikan seluruh kawasan Pasir Gudang terjejas dan tidak lagi selamat.

“Kehidupan beratus ribu penduduk di Pasir Gudang kini terdedah kepada pencemaran kimia toksik berbahaya yang bermula dengan pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim yang mengalir sepanjang 1.5 km. Bahan-bahan kimia toksik kini disebar melalui udara dan tersebar luas dibawa angin.

“Penduduk-penduduk menjadi cemas dan bimbang. Dewan Rakyat perlu membahaskan bencana pencemaran kimia toksik ini demi kepentingan dan hak penduduk di Pasir Gudang supaya kesihatan dan hak mereka terjamin,” kata Hassan.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lepas telah menyebabkan seramai 947 orang awam dirawat di hospital dan klinik kerajaan ekoran terdedah kepada tindak balas kimia daripada sisa pembuangan toksik tersebut.

Sembilan daripada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismai manakala pencemaran itu juga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang diarah tutup.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.