Siakap Keli

Jiran Selamatkan Warga Emas Didera Dan Dikurung

BUKIT MERTAJAM, 13 Mac (Bernama) — Seorang warga emas bukan sahaja didera sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan malah wanita itu turut dikurung dalam rumah oleh anak dan menantunya dalam kejadian di Flat Sri Desa Wawasan, di sini.

Wanita berusia 70-an itu akhirnya berjaya diselamatkan selepas dia meminta bantuan jirannya ketika dua anak dan menantunya tiada di rumah mereka di tingkat 12 flat berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, jiran warga emas itu bertindak memotong kunci pintu jeriji rumah itu sebelum lelaki berkenaan menghubungi polis, ambulans dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata mangsa wanita itu mengalami beberapa kecederaan di bahagian belakang badan, tangan dan kepala dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

”Berdasarkan maklumat awal juga, anak kepada warga emas itu jarang memberi ibunya makanan kerana didakwa mengalami masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan dua anak lelaki dan menantu perempuan warga emas berkenaan masing-masing berusia 40-an bagi membantu siasatan kes itu.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan maklumat JKM, dua anak lelaki warga emas itu menerima bantuan daripada jabatan berkenaan dan mereka yang mempunyai masalah mental turut tidak bekerja.

Menurutnya, menantu perempuan mangsa juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Selain empat beranak itu, cucu mangsa berusia lingkungan 11 tahun yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri berkenaan turut tinggal di rumah itu dan pihak polis juga akan memanggil jiran mangsa untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes.

“Polis masih menyiasat siapa yang mendera wanita itu kerana ketika diselamatkan mangsa hanya mendiamkan diri sehingga dibawa ke HSJ,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Editor: Nur Farra

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di