Siakap Keli

Satu-satunya Pelajar Cemerlang Meskipun Diserang Asma Ketika SPM

Diserang sakit asma ketika hampir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mematahkan semangat Khairul Najwa Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 17 dekat sini untuk memperolehi keputusan cemerlang 9A sekali gus membanggakan ibu bapanya.

Khairul Najwa  yang mendapat 5A dan 4A- itu berkata dia diserang penyakit itu secara tiba-tiba sekitar September dan Oktober sebelum menduduki peperiksaan itu pada November tahun lepas.

“Dalam tempoh dekat nak hadapi peperiksaan sebenar SPM itu saya terkena asma, dalam tempoh satu minggu itu, mesti ada hari yang saya tidak dapat ke sekolah. Masa itu saya rasa agak tertekan juga. Saya tidak pernah kena asma sebelum ini, bila hampir nak SPM, terkena asma pula,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolahnya hari ini.

Khairul Najwa, anak seorang penjual nasi lemak merupakan satu-satunya pelajar cemerlang SMK Batu 17 yang memperoleh 9A dalam SPM. Dia mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Pertanian, Perniagaan dan Pendidikan Islam manakala Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Seni Visual memperoleh A-.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata dia cekalkan hati menghadapi situasi sukar itu dengan belajar sendiri di rumah termasuk mengetahui perkembangan semasa daripada guru dan rakan lain menerusi kumpulan kelas dicipta menerusi aplikasi WhatsApp.

Khairul Najwa berkata selain itu, kunci kejayaannya adalah dia memberikan sepenuh perhatian ketika guru mengajar dalam kelas sebagai satu cara untuk memudahkannya mengingati setiap mata pelajaran diajar gurunya.

“Saya tidak ada rahsia lain. Cumanya fokus waktu cikgu ajar dalam kelas, bila saya fokus, saya tidak akan ketinggalan apa cikgu ajar, selain ada masa akan sertai ‘study group’, membantu kawan-kawan lain mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Beliau  berkata perancangannya selepas ini adalah ingin meyambung pengajian dalam bidang Diploma Animasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memburu cita-cita untuk menjadi seorang juruanimasi yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya minat melukis. Masa saya tingkatan  3, abang saya suka muat turun animasi Jepun. Sejak itu saya minat dengan lukisan animasi ini, saya sasar nak ambil bidang animasi, maka saya pun mencari universiti yang menawarkan bidang animasi ini, dan saya dapati UPSI menawarkan Diploma Animasi. Saya akan mohon kursus ini di UPSI selepas ini,” katanya. — BERNAMA

Nur Farra