Siakap Keli
Gambar: SDE

“Saya Tersentak Melihat Kanak-Kanak Itu Memakai Jersi Buatan Sendiri”, Kata Bintang Arsenal Selepas Menghadiahkan Jersi Kepada Peminatnya Itu

Tindakan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil, yang menghadiahkan jersi arsenal berserta kasut bola yang ditandatangani olehnya sendiri kepada seorang peminat cilik yang berasal dari Kenya telah menyentuh hati ramai pihak.

Peminat cilik yang bernama Lawrence itu dilihat memakai baju pasukan Arsenal yang ditulis dengan perkataan ‘Ozil 10’ dengan menggunakan pen marker menjadi tular apabila gambarnya telah dimuat naik oleh seorang wartawan sukan yang bernama Eric Njiru.

“Saya nampak kanak-kanak ini di Nairobi, dia memberitahu pada saya bahawa dia suka Ozil. Lihatlah bajunya, Mungkin suatu hari nanti jika tweet ini sampai kepada Ozil, beliau akan menghadiahkan jersinya yang sebenar”. Tulis wartawan itu dalam satu tweet yang dimuat naiknya.

“Saya ternampak Lawrence bersama lembu-lembunya di sebuah jalan. Lembu-lembu itu dilihat menghalang jalan dan saya mahu mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Kemudian saya terkejut apabila melihat Lawrence memakai baju Arsenal yang tertulis ‘Ozil 10’ dengan hanya menggunakan pen marker sahaja di bahagian belakang bajunya itu. Saya mendekatinya dan selepas berbual dengannya, dia memberitahu kepada saya bahawa bekas bintang bola sepak Jerman itu merupakan pemain kegemarannya dan ingin bertemu dengannya. Saya dapati ianya adalah sesuatu yang menarik lalu saya ambil gambarnya dan memuat naik gambar tersebut”. Kata Njiru dalam satu temu ramah eksklusif kepada Citizen Digital.

Dengan bantuan netizen-netizen di media sosial, Tweet itu telah menjadi tular sehingga sampai ke pengetahuan bekas juara dunia edisi ke 2014 itu.

Tersentuh dengan tweet tersebut, bintang Arsenal itu segera menghubungi Njiru menerusi akaun Twitternya dan telah menghantar jersi Arsenal berserta kasut bola yang ditandatanganinya sendiri kepada Lawrence dan seluruh ahli keluarganya.

Menurut Ozil, gambar yang menunjukkan seorang kanak-kanak memakai jersi buatan sendiri itu telah menyentuh jiwanya.

Tambahnya lagi, beliau berbesar hati kerana dapat menggembirakan Lawrence dan abangnya itu.

Pemain yang berusia 30 tahun itu juga berterima kasih ke atas wartawan sukan itu kerana membantunya mencari peminat ciliknya itu.

Aqmal Ezany

I write what is right