Siakap Keli

Tidak Mampu Tuisyen, Pelajar Belajar Sendiri Peroleh Keputusan Cemerlang SPM

Kesempitan hidup yang dialami Syahmi Rubaie, 17, menjadi pembakar semangat buat dirinya mengerahkan sepenuh daya usaha mengulang kaji pelajaran secara sendiri, sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan hari ini.

Syahmi, pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar yang memperoleh 7A itu juga berkata, meskipun pernah berkeinginan mengambil kelas tuisyen bagi mendapatkan keputusan cemerlang namun memikirkan keadaan kewangan keluarga, beliau akur untuk belajar sendiri.

“Kejayaan ini merupakan hadiah manis selepas berpenat lelah belajar dan mengulang kaji pelajaran sendiri kerana kesempitan hidup yang dilalui, ayah saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Tetapi ibu bapa saya sering memberi semangat, sehingga berjaya mendapat keputusan ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi menerima keputusan SPM 2018 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Bagi Norazura Noh, 17, pula, kejayaan yang diperoleh hari ini merupakan langkah awal buat dirinya mengubah nasib keluarga. Biarpun membesar dalam keluarga yang susah, namun tidak menghalang Norazura yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu mendapatkan keputusan cemerlang 8A dalam SPM.

“Alhamdulillah… saya rasa terharu dan tidak menjangka akan memperoleh keputusan cemerlang seperti ini, malah gembira kerana dapat membanggakan kedua ibu bapa yang telah banyak berjasa dalam hidup saya.

“Melihat kepayahan ayah saya Noh Atiff, 49, seorang juruteknik serta ibu saya Rosni Mohd Kamil, 43,     seorang tukang jahit sambilan, membuatkan saya tekad berjaya dalam pelajaran bagi memperbaiki kehidupan pada masa akan datang sekaligus membantu keluarga pada suatu hari nanti,” katanya.

Norazura juga bercita-cita menjadi guru dan ingin melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam jurusan Matematik.

Negeri Sembilan muncul negeri kedua terbaik dalam SPM 2018 sekali gus mengekalkan kedudukan tersebut buat tahun ketiga berturut-turut.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata seramai 437 calon SPM 2018 daripada 56 sekolah di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam setiap subjek dan daripada jumlah itu, seramai 20 orang calon dari lapan sekolah kerajaan di negeri ini memperoleh pangkat A+ dalam semua subjek.

“Indeks Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2018 meningkat iaitu 4.67 daripada tahun 2017 iaitu 4.71 dengan perbezaan sebanyak 0.04,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.