Siakap Keli

K’jaan Johor Mengalu-Alukan Sumbangan Penutup Mulut Dari Negeri lain

Kerajaan Johor mengalu-alukan sumbangan penutup mulut dan hidung jenis R95 daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata ini kerana terdapat rungutan daripada orang ramai terhadap kehabisan bekalan penutup hidung dan mulut jenis R95 di sekitar Pasir Gudang dan bandar raya ini.

“Difahamkan bekalan R95 terhad di mana orang ramai mengadu sukar untuk mendapatkan bekalan.

“Sehubungan itu, jika ada mana-mana kerajaan negeri lain yang mahu bantu menyumbang R95, kita (Kerajaan Negeri Johor) mengalu-alukan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau Pusat Gerakan Jawatankuasa Perngurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, jualan penutup hidung dan mulut di beberapa farmasi di sekitar Pasir Gudang laris hingga sesetengah farmasi kehabisan stok.

Topeng jenis R95 mendapat permintaan paling tinggi, namun kebanyakan farmasi tidak menjual topeng berkenaan menyebabkan penduduk terpaksa membeli jenis N95.

Dr Sahruddin berkata beliau turut dimaklumkan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), semalam, turut tampil menyumbang penutup hidung dan mulut.

“Bagi para pekerja sektor industri di kawasan Pasir Gudang pula, mereka tidak menghadapi masalah kerana majikan mereka turut menyediakan bekalan penutup hidung dan mulut,” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata seramai 780 individu dirujuk ke pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dalam tempoh enam jam bermula 6 petang semalam hingga 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata dengan perkembangan tersebut, seramai 3,555 individu kini direkodkan dirujuk untuk mendapatkan rawatan awal sejak kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, di sini, dilaporkan pada 7 Mac lepas.

Dr Sahruddin berkata, daripada 780 orang tersebut, hanya 202 individu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan 113 daripadanya dimasukkan ke kedua-dua hospital tersebut.

Menurut beliau, seramai 531 mangsa yang mendapatkan rawatan di kedua-dua hospital itu sebelum ini juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.