Siakap Keli
Gambar Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia

Fasa Peralihan Monsun, Ribut Petir Berserta Hujan Lebat Bermula Selasa Ini – Jabatan Meteorologi

Malaysia dijangka memasuki fasa peralihan monsun mulai Selasa (19 Mac) ini, yang lazimnya akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata keadaan cuaca itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca itu biasanya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, fasa peralihan monsun itu dijangka berterusan hingga pertengahan Mei.

“Permulaan fasa peralihan monsun itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 27 Okt lepas.

“Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah iaitu sesuai untuk pembentukan awan ribut petir,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh fasa peralihan monsun serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.

— BERNAMA

Nur Farra