Siakap Keli

Pencemaran Kimia: Operasi Pembersihan 24 Jam, Kawasan Seluas 680 Meter Sudah Dibersihkan

Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bertungkus lumus dalam memastikan pencemaran sisa toksik di sungai berkenaan dapat dikekang daripada merebak.

Mereka yang terlibat dalam operasi pembersihan ialah pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Nyah Cemar Kimia, Biologi, Radilogikal dan Nuklear (CBRN) yang ditubuhkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa syarikat swasta serta tiga kontraktor yang dilantik.

Mereka yang turun ke kawasan sungai berkenaan seawal 7 pagi dilihat bertungkus lumus menanda kawasan, memeriksa kadar pencemaran sungai dan udara, menyediakan peralatan yang digunakan sambil memakai pakaian dan kelengkapan yang secukupnya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sehingga petang tadi, pasukan pembersih telah berjaya membersih kawasan terjejas paling teruk iaitu sejauh 680 meter di Sungai Kim Kim iaitu di kawasan pembuangan berlaku.

Yeo berkata kontraktor yang dilantik akan terus melakukan kerja pembersihan selama 24 jam dan ada baki 900 meter lebih lagi yang perlu diselesaikan.

“Ini adalah merupakan perjalanan kerja yang baik dan kita kalau boleh ingin percepatkan namun pada masa yang sama akan membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan di jalankan,” katanya.

Selain itu penubuhan jawatankuasa saintifik diharapkan dapat mengumpul data akibat pencemaran sisa bahan kimia supaya dapat mengelak perkara yang sama berulang.

Sementara itu, salah seorang daripada kontraktor yang dilantik berkata seramai 60 orang bertugas 24 jam bagi memastikan pembersihan sungai dapat diselesaikan mengikut jadual.

Pembersihan bukan sahaja tertumpu kepada pencemaran semata-mata tetapi keseluruhan pembersihan termasuk dasar sungai.

Sementara itu, CBRN yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 33 anggota juga komited dalam menjalankan tugas pembersihan .

— BERNAMA

Nur Farra