Siakap Keli
Gambar : Masjid Baitul Masroor - Dailymail UK

Lepas Insiden Tembakan, Masjid Queensland Pula Dirempuh Dan Jemaah Dihambur Kata Makian

Belum reda dengan insiden serangan tembakan di masjid hingga mengorbankan 50 nyawa jumaat lalu, kini sebuah masjid di Queensland, Australia pula menjadi sasaran apabila dirempuh hingga menyebabkan kerosakan.

Suspek seorang lelaki berusia 23 tahun, telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa merempuh keretanya ke pintu pagar masjid sambil mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap para jemaah yang berada di dalam.

Menurut polis, kejadian berkenaan berlaku di di perkarangan luar Masjid Baitul Masroor pada sabtu malam lalu.

Pemandu kenderaan itu didakwa telah melanggar pintu masjid secara sengaja sekitar pukul 7 malam menyebabkan berlakunya sedikit kerosakan.

Malah, lelaki berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada jemaah sebelum beredar dan pulang ke rumah.

Suspek didakwa atas kesalahan melakukan kerosakan dengan sengaja, melakukan gangguan awam serta memandu dalam keadaan lesen yang digantung.

Insiden berkenaan berlaku sehari selepas seorang lelaki bersenjata menembak masjid di New Zealand hingga membunuh 50 orang dan menyebabkan ramai cedera parah.

Bagaimanapun, jurucakap masjid berkata, kejadian itu berlaku secara ‘rawak’ dan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku sebelum itu.

Sumber : Daily Mail UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.