Siakap Keli
Gambar : Bernama

Mangsa Tembak Di Christchurch, Rahimi Masih Di ICU

George Town : Mangsa serangan masjid di Christchurch, Rahimi Ahmad telah menunjukkan tanda-tanda positif namun perlu menjalani pembedahan susulan, esok.

Rahimi, 39, pekerja kilang susu di New Zealand, yang terkena dua das tembakan ketika serangan di Masjid Al-Noor Jumaat lepas, masih bergantung kepada mesin pernafasan di Unit Rawatan Rapi dan  dijadual menjalani pembedahan bagi mengeluarkan sisa peluru, esok.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata ibu Rahimi, Rokiah Mohammad dan abangnya, Rosdi Ahmad baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch kira-kira pukul 5.00 pagi ini dan terus bergegas ke Hospital Christchurch di mana semua mangsa warga Malaysia sedang mendapat rawatan.

“Kami difahamkan oleh pihak hospital bahawa kecederaan Rahimi telah menunjukkan tanda positif tetapi dia perlu menjalani pembedahan wash out selanjutnya esok,” katanya dalam satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Semalam, Azrul bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mewakili Kerajaan Negeri menemani ibu Rahimi, Rokiah, 65, dan Rosdi, 42, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang 3.30 petang semalam bagi melihat perkembangan mangsa tembakan itu.

Sementara itu, Azrul bersama Phee turut berkesempatan melawat dua lagi mangsa warga Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib dan Mohd Nazril Hisham Omar yang turut menerima rawatan.

Mohd Tarmizi yang cedera di bahagian belakang badan dijangka menjalani pembedahan esok manakala Nazril yang cedera di kaki dan belakang badan pula perlu menjalani pembedahan untuk “wash out”.

Azrul berkata, Tarmizi dan Nazril telah sedar dan kelihatan stabil ketika lawatan bersama Phee ke wad hospital berkenaan tetapi mereka memerlukan pembedahan susulan lagi.

“Apa yang membimbangkan, saya difahamkan bahawa anak kepada Tarmizi, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, masih belum ditemui. Kita berharap Haziq akan dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau juga memohon rakyat Malaysia supaya terus berdoa agar semua mangsa di sini cepat sembuh.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.