Siakap Keli
Vancouver Courier

”Saya Menyayanginya Sebagai Manusia”, Lelaki Kehilangan Isteri Di Christchurch Maafkan Perbuatan Penyerang

Seorang lelaki yang kehilangan isterinya dalam insiden serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand memberitahu media bahawa dia tidak membenci penyerang dan memaafkan perbuatannya sebagai jalan untuk memandang kedepan.

Farid Ahmed, 59, yang lumpuh dan berkerusi roda kehilangan isterinya, Husne Ahmad, 44, ketika mangsa bergegas daripada ruang solat wanita menuju ke ruang solat lelaki untuk menyelamatkannya.

”Saya mahu berkata kepadanya (penyerang), saya menyayanginya sebagai seorang manusia.

”Sudah tentu. Perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah memberikan kemaafan, berbuat baik dan menyebarkan perkara positif,’‘ katanya ketika diaju soalan sama ada dia memaafkan perbuatan penyerang oleh wartawan.

Husne Ahmad

Husne adalah salah seorang daripada 50 orang mangsa yang terkorban dalam serangan keganasan di dua buah masjid ketika para jemaah sedang bersiap untuk menunaikan Solat Jumaat.

Sebaik sahaja mendengar bunyi tembakkan, Husne dilaporkan sempat menghulur tangan dan membantu beberapa jemaah wanita lain termasuk kanak-kanak untuk meninggalkan lokasi kejadian.

”Saya mendengar dia menjerit ‘lari ke arah ini’, dan dia menarik keluar beberapa orang wanita dan kanak-kanak yang lain.

”Kemudian dian berlari menuju ke arah saya, untuk menyelamatkan saya kerana saya berkerusi roda. Sebaik sahaja dia menghampiri pintu pagar saya melihat dia ditembak.

”Isteri saya terkorban ketika dia berusaha menyelamatkan nyawa orang lain, hingga tidak mempedulikan keselamatan dirinya sendiri,’‘ kata Farid mengenai kejadian yang menimpa isterinya.

Penyerang

Farid yang lumpuh akibat dilanggar kereta dipandu lelaki mabuk pada 1998 percaya dia terselamat kerana ketika kejadian penyerang memberi fokus dan menembak jemaah lain yang sedang menyelamatkan diri.

”Penyerang menembak seseorang mangsa berulang-ulang kali. Tindakkannya memberikan masa untuk jemaah-jemaah lain melarikan diri. Biarpun mangsanya sudah meninggal dunia, dia kembali semula untuk menembak lagi dan lagi,’‘ katanya lagi.

Farid tidak melihat isterinya ketika diselamatkan oleh jemaah yang lain. Dia hanya menyedari isterinya terkorban apabila melihat gambar-gambar mangsa yang tersebar di media sosial.

”Gambarnya dimuat naik ke media sosial dan ada orang menunjukkan gambar tersebut kepada saya. Dari situ saya menyedari, Husne isteri saya sudahpun tiada,” kata Farid lagi.

Menurut Farid, jika diberi peluang untuk meluang masa bersama-sama penyerang, dia mahu mengambil kesempatan itu menasihati suspek supaya berfikir semula cara dia memandang manusia lain.

”Saya mahu memberitahu di dalam dirinya, ada potensi besar untuk dia menjadi individu yang baik. Untuk menjadi manusia yang baik, menyelamatkan nyawa manusia dan memelihara kemanusiaan, berbanding memilih untuk memusnahkan semua perkara itu.

”Saya mahu dia melihat sifat positif yang ada dalam dirinya. Saya berdoa semoga dia menjadi seorang rakyat yang baik suatu hari nanti. Saya tidak berdendam.”

Sumber: CNA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.