Siakap Keli

Seorang Rakyat Indonesia Terbunuh, 2 Lagi Cedera Insiden Christchurch

Seorang warganegara Indonesia disahkan antara 49 orang yang terkorban dalam insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.

Agensi berita Antara, yang memetik kenyataan Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) di Wellington, berkata mangsa, Muhammad Abdul Hamid @ Lilik Abdul Hamid, yang sebelum ini dilaporkan hilang, telah disahkan terkorban dalam insiden itu oleh pihak berkuasa tempatan negara itu.

Duta Besar Indonesia di New Zealand, Tantowi Yahya, dipetik sebagai berkata, terdapat tujuh rakyat Indonesia berada di kedua-dua masjid itu semasa insiden tembakan rambang berlaku.

“Seorang terkorban, empat selamat manakala dua lagi yang cedera sedang dirawat di Christchurch Public Hospital,” katanya.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini menyatakan terdapat 330 warga negaranya berada di Christchurch, dengan 130 daripadanya adalah pelajar.

— BERNAMA

Nur Farra