Sekumpulan Geng motorsikal Maori yang juga dikenali sebagai Black Power telah mempersembahkan tarian haka sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi tembakan rambang yang telah meragut 50 nyawa di Christchurch pada jumaat lalu.
Seramai 10 orang ahli geng Black Power berkumpul berdekatan dengan masjid Al Noor yang terletak di Christchurch untuk mempersembahkan tarian tradisional masyarakat Maori itu dalam suasana yang penuh hiba serta memilukan.
Mereka dikelilingi oleh orang ramai yang turut memenuhi kawasan itu bagi berkabung serta memperingati mangsa-mangsa yang telah terkorban dalam tragedi itu.
Menurut salah seorang ahli kumpulan Black Power yang tidak mahu mendedahkan namanya itu menyatakan, tiada kata yang dapat menjelaskan tentang betapa terkesannya semua orang pada ketika ini susulan daripada insiden yang terjadi.
‘Walaupun sesetengah orang menggelarkan kami geng yang ganas dan berpandangan serong terhadap kami, kami juga hidup bersama-sama di dalam komuniti ini dan tragedi ini walau bagaimanapun telah menyatukan semua orang, tidak kira apa pakaian mereka, warna kulit mereka, atau apa pun kepercayaan mereka,’ katanya kepada The Daily Telegraph.
Lelaki itu juga turut menyatakan bahawa fahaman ekstremis yang dipertontonkan dalam tragedi baru-baru ini memang wujud dan orang ramai harus sentiasa berhati-hati.
‘Fahaman ekstremis sebegini telah wujud bertahun-tahun, sudah sedekad ia wujud disini. Apabila seseorang itu hormat bila berhadapan dengan anda akan tetapi bagaikan menyorok sesuatu dibelakang anda, maka orang sebegitulah yang anda patut berwaspada kerana mereka tidak meluahkan apa yang mereka rasa’, ujarnya.
Sementara itu, puluhan kubur telah digali di tapak perkuburan Christchurch sambil didatangi oleh ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Salah seorang ahli geng Black Power, Shane Turner, berkata bahawa geng mereka turut terkesan sama seperti orang lain.
‘Hari ini merupakan hari yang menyedihkan begitu juga dengan esok dan ini sajalah masanya yang boleh membuatkan kita bersatu dan menjadi lebih kuat’, ujarnya.
Beliau turut menambah, tarian haka yang dipersembahkan itu bertujuan untuk memberi penghormatan serta untuk memberikan semangat kepada semua yang terkesan.
Selain dari itu, geng motor yang terkenal, Mongrel Mob, turut kelihatan sedang menenangkan keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terkesan dengan tragedi berdarah itu sambil Perdana Menteri Jacinda Arden turun padang untuk berjumpa dengan keluarga-keluarga mangsa.