Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kerajaan Belum Cadang Tetatpkan Harga Lantai Getah Sekerap

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Kerajaan belum bercadang menetapkan harga lantai bagi getah sekerap kerana pelaksanaannya akan memberi impak kewangan yang besar kepada negara.

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kerajaan belum dapat mempertimbangkan cadangan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk ia memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokongnya sekiranya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan mendadak.

“Penetapan harga lantai juga menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan kerajaan akan menampung perbezaan antara harga pasaran dan harga lantai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang ingin tahu pelaksanaan harga lantai pembelian getah seperti dijanjikan RM2.50 dan kesan kaedah sekiranya tidak dilaksanakan.

Shamsul Iskandar berkata penetapan harga lantai itu juga menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding harga antarabangsa.

Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata kerajaan prihatin dengan cabaran yang dialami pekebun getah terutama apabila berlaku kejatuhan harga pasaran getah dengan melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebagai langkah menstabilkan harga dan pengeluaran bahan itu.

“Berdasarkan harga getah yang terlalu rendah pada penghujung 2018, kerajaan menambah baik IPG pada 21 Nov 2018 dengan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram getah sekerap,” katanya.

Katanya, kadar PHP itu telah berkuat kuasa pada 1 Jan lepas dan kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia telah menyalurkan IPG dengan kadar baharu itu bermula awal Februari lepas.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.