Siakap Keli

Penyerang Ditahan Ketika Dalam Perjalanan Untuk Serang Masjid Yang Ketiga – Polis

Pihak polis yang menjalankan siasatan mendapati bahawa insiden berdarah di Christchurch boleh menjadi lebih teruk sekiranya Brenton Tarrant tidak berjaya ditahan lebih awal.

Tiga titik yang ditemui pada peta yang dirampas daripada Tarrant menunjukkan dia dalam perjalanan menuju ke masjid ketiga iaitu Masjid Ashburton sebagai sasaran serangan seterusnya.

Masjid berkenaan terletak lebih sejam perjalanan daripada Masjid Linwood. Ketika ditahan oleh dua orang polis, Tarrant ketika itu berada di atas jalan yang sedang menuju ke masjid berkenaan.

Selain itu penyiasatan pihak polis juga mendapati bahawa tiada suspek lain dan Tarrant melakukan serangan tersebut sendirian.

Menurut polis lagi, Tarrant seringkali menggunakan perisian biasa yang digunakan orang ramai temasuklah Microsoft Office dan PDF ketika memuat naik manifesto ke atas talian.

Justeru, mereka percaya Tarrant menggunakan peta daripada Google Maps untuk merancang serangan.

Di Christchurch hanya terdapat dua buah masjid dan kedua-duanya sudah di serang. Manakala di dalam manifestonya turut menyebut Masjid Ashburton yang terletak di bandar bersebelahan.

Ujar polis lagi, Tarrant dalam manifestonya menyamakan Masjid Ashburton dengan Hagia Shopia di Turki kerana kedua-dua bangunan tersebut pada mulanya adalah gereja sebelum diubah menjadi masjid.

Selain Masjid Ashburton, pihak polis juga mendapati beberapa lokasi lain yang mungkin dipilih sebagai sasaran Tarrant memandangkan lokasi-lokasi berkenaan berada berdekatan dan ada kaitan dengan umat Islam.

Lokasi-lokasi tersebut adalah dua buah kedai menjual makanan halal dan sebuah pusat asuhan kanak-kanak An-Nur yang menjadi tumpuan orang ramai.

Sabtu lepas, Perdana Menteri New Zealand juga menyebut bahawa Tarrant turut mempunyai sasaran lain sekiranya tidak ditahan.

”Penyerang berupaya untuk bergerak. Di dalam keretanya polis menemui dua pucuk senjata lagi dan daripada itu kami menyimpulkan bahawa penyerang memang mempunyai sasaran yang lain,” katanya.

Dalam manifestonya juga, Tarrant tidak merancang untuk mati dalam serangan tersebut. Apa yang mahu dilakukannya adalah serangan besar-besaran yang boleh mengejutkan dunia dan memecahbelahkan masyarakat di New Zealand.

Sumber: MSN News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.