Siakap Keli
Gambar: Fighter Jets World

Pesawat Jenis Boeing 737 MAX 8 Milik Ethiopia Airlines Dan Lion Air Mengalami Kerosakan Yang Sama Sebelum Terhempas

Data awal yang diterima daripada perakam data penerbangan pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiophia Airlines yang terhempas pada minggu lalu menunjukkan terdapat beberapa masalah yang sama seperti pesawat milik syarikat Lion Air di Indonesia yang terhempas pada tahun lalu.

Menurut menteri pengangkutan Ethiopia, Dagmawit Moges, kotak hitam yang ditemui berada di dalam keadaan baik, ianya membolehkan data daripada pesawat malang itu dapat dianalisis sebanyak yang mungkin.

“Persamaan kedua-dua kes itu akan diteliti dengan lebih mendalam dalam satu siasatan yang dijalankan. Laporan awal tentang tragedi itu dijangka akan dapat diketahui dalam masa 30 hari”, Ujarnya.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa 157 mangsa yang berasal daripada 35 buah negara berlainan telah terbunuh apabila pesawat milik Ethiopia itu terhempas sejurus selepas pesawat itu berlepas daripada lapangan terbang Addis Ababa pada 11 Mac lalu.

Sejumlah besar negara dan syarikat penerbangan yang memiliki pesawat Boeing 737 MAX telah menggantung kesemua operasi pesawat jenis itu susulan daripada tragedi yang telah meragut 346 nyawa itu.

Syarikat Boeing berpendirian bahawa pesawat buatannya itu selamat untuk digunakan walaupun terdapat beberapa keraguan yang melibatkan sensor dan perisian pesawat itu yang mengundang kepada tragedi itu.

Lembaga Penerbangan Amerika Syarikat menyatakan bahawa data penjejakan yang diperoleh daripada satelit menunjukkan pergerakan pesawat Ethiopia Airlines itu sama dengan pesawat Lion Air yang terhempas di laut Jawa, Indonesia pada Oktober tahun lalu.

Kedua-dua pesawat tersebut didapati terbang di ketinggian yang tidak menentu, dan ianya menjerumus kepada kesimpulan bahawa juruterbang sedang bergelut untuk mengawal pesawat tersebut. Sejurus selepas pesawat itu berlepas, kedua-dua juruterbang tersebut sempat melaporkan kerosakan pada sistem pengemudian dan cuba untuk berpatah balik sebelum pesawat itu didapati terhempas.

Dalam kes pesawat Ethiopia Airlines ini, kotak hitam yang dijumpai daripada pesawat itu telah diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam Perancis yang turut bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan penyiasat dari Ethiopia untuk mengenal pasti tentang kerosakan yang berlaku pada pesawat tersebut.

Pegawai dari Amerika Syarikat walau bagaimanapun memaklumkan bahawa Jabatan Penerbangan Awam Perancis dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan belum lagi menyimpulkan apa-apa data dari kotak hitam yang dijumpai itu kerana proses penyiasatan masih lagi giat dijalankan.

Sumber: Al-Jazeera

Aqmal Ezany

I write what is right