Siakap Keli

Adun BN Minta Pas Buka Semula Panggung Wayang Di Kelantan

Kota Bharu : Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan PAS membenarkan panggung wayang dibuka dan beroperasi semula di negeri ini setelah hampir 30 tahun diarah tutup oleh kerajaan negeri.

Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

“Ketika ini rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu,  negeri paling dekat  yang mempunyai panggung wayang.

“Kalau Terengganu membenarkan perkara itu (membuka panggung wayang) saya ingin mencadangkan agar panggung wayang di negeri ini dibuka semula,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V  pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang ialah sebelum PAS mengambil alih negeri ini daripada BN pada 1990 iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di sini.

Mohd Syahbuddin  berkata ada ulama yang berpandangan adalah tidak salah untuk menonton filem asalkan filem yang ditonton itu memberikan kebaikan untuk penontonnya.

Selain itu beliau  turut meminta kerajaan negeri supaya  memperjelaskan tentang berapa banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di beberapa bandar utama di negeri ini.

“Kalau dapat jelaskan sudah berapa banyak CCTV ini dipasang terutamanya  di lokasi panas yang sering berlakunya jenayah,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.