Siakap Keli
Gambar : Bernama

Sungai Kim Kim Disahkan Bersih Dan Selamat – Menteri

Johor Bahru : Sungai Kim Kim yang tercemar berikutan pembuangan sisa kimia, 13 hari lepas, disahkan bersih dan selamat, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, pemantauan selama 15 hari akan diteruskan bagi memastikan keadaan betul-betul selamat terutamanya kepada orang awam.

”Sungguhpun sekarang saya dah tak pakai mask, tapi pemantauan itu sangat penting sebab kita tak tahu tentang yang tidak diketahui.

”Secara keseluruhan sudah bersih tapi kita buat pemantauan sebab memberi keyakinan kepada rakyat bahawa sungai ini bersih,’‘ kata beliau kepada sumber di lokasi pertama tempat pembuangan sisa kimia, di sini hari ini.

Yeo berkata pembersihan telahpun siap dan pihak kontraktor kini dalam proses mengeluarkan semua (sisa kimia yang telah dikeluarkan) ke tempat pelupusan.

Proses pembersihan sungai di kawasan terjejas sepanjang 1.5 kilometer yang bermula 13 Mac itu, berakhir sepenuhnya pada 17 Mac, melibatkan pelbagai pihak termasuk tiga kontraktor yang dilantik serta pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) .

Beliau juga berkata laporan Jawatankuasa Saintifik akan diumumkan esok, merangkumi analisis data berkenaan pencemaran selain kaedah dan penyelesaian yang digunakan dalam mengatasi pencemaran sungai berkenaan.

Apabila ditanya sama ada kerja pembersihan akan menjejaskan aliran semula jadi sungai itu, beliau berkata: “Apa sahaja yang berkaitan dengan sains penyingkiran, kita akan memberikan laporan penuh esok. Esok kita akan memberikan butiran mengenai sama ada aliran ini serta perkara lain, bagaimana kita melihat perkara ini , bagaimana kita mengira. Esok kita akan menjawab. “

Sementara itu, sebanyak 900 metrik tan  tanah tercemar bersama selut dan 1,500 metrik tan air tercemar telah dikumpulkan oleh kontraktor yang dilantik.

Proses pengangkutan kesemua sisa kimia secara berperingkat itu, dijangka selesai 21 Mac (Khamis) ini.

Sumber :  Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.