Siakap Keli

Tolak Komputer Sebagai Hadiah Hari Jadi, Kanak-Kanak 9 Tahun Ini Hanya Mahu Jambangan Bunga Untuk Letak Di Masjid Di Christchurch

Seluruh dunia masih merasai impak serangan yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang mangsa terkorban susulan tragedi tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Insiden berlaku ketika mereka sedang menunaikan Solat Jumaat dan terdapat beberapa rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa serangan tersebut.

Berita pilu itu menjadi bualan di media sosial, sekaligus menyentuh hati kanak-kanak berusia 9 tahun ini.

Siapa sangka walaupun masih muda dan mungkin sahaja tidak berapa jelas tentang apa yang telah berlaku, namun Darsh, tetap mahu berkongsi rasa hormat dan simpatinya kepada mangsa yang terlibat.

Catatan yang ditulis oleh Samuel, ayah kepada Darsh menceritakan betapa bangganya dia apabila Darsh menolak komputer riba sebagai harijadi sebaliknya memilih jambangan bunga untuk dihadiahkan kepada mangsa di Christchurch.

Selamat Hari Ulang Tahun Yang Ke-9 Buat Darsh.  Saya nak hadiahkan dia dengan sesuatu yang dah lama dia inginkan, iaitu sebuah komputer riba, tapi saya pula yang terkejut dengan keinginan terbarunya.

Saya tanya dia hari ini, “Apa yang Darsh nak untuk hari jadi tahun ni?”

Dia menjawab, “Saya nak bunga.”

Saya agak terkejut dan keliru dengan permintaannya itu.

Sekali lagi saya bertanya, “Kenapa bunga?”

Darsh memberitahu, “Saya nak bawa bunga itu ke masjid dan sebagai memberi penghormatan kepada mereka yang telah terkorban di Christchurch.”

Saya terkejut dengan apa yang Darsh cakap.  Sekian lama mendiamkan diri, saya bertanya lagi.

“Macam mana dengan komputer riba yang dah lama awak mahukan?”

Dia menjawab, “Dadda, awak boleh dermakan duit tu semua kepada mereka yang lebih memerlukan di Christchurch.  Mereka lagi perlukannya dan saya boleh guna komputer riba ayah dahulu.”

Rata-rata netizen memuji kebaikan hati yang ditunjukkan Darsh yang sanggup mengorbankan sesuatu yang dah lama diinginkan.

Sumber: Samuel Sen

Nur Farra