Siakap Keli

(Video)Tiru Senaman Saitama Dalam ‘Manga’ One Punch Selama Sebulan, Lelaki Ini Kongsi Hasilnya Yang Menakjubkan

Jika anda pengikut tegar pelbagai karya manga dan anime daripada Jepun, maka sudah tentu anda kenal dengan watak Saitama dan manga One Punch iaitu seorang superhero ‘blur’ terkuat di dunia.

Dalam manga berkenaan, Saitama selalu kecewa apabila seringkali bertemu dengan musuh yang terlampau mudah untuk ditewaskan, iaitu dengan satu tumbukkan.

Dek kerana kehebatan tersebut, seorang lagi superhero dalam karya yang sama, Genos memohon untuk menjadi anak muridnya kerana mahu mengorek rahsia kekuatan luar biasa yang dimilikinya.

Akhirnya, dalam Episod ke-3 karya anime berkenaan, Saitama semasa bertarung dengan Carnage Kabuto telah mendedahkan rejim latihan fizikal yang diamalkan olehnya setiap hari untuk mendapat badan dan kekuatan yang ada padanya ketika itu.

Bukan sahaja Genos dan Carnage Kabuto sahaja yang terkejut, malah rata-rata para peminat anime juga terkejut kerana senaman yang diamalkannya adalah biasa dan boleh diamalkan di dunia nyata. Satu-satunya yang bahaya menurut Saitama adalah senaman itu boleh menyebabkan botak. Itu sahaja.

Lebih menarik, seorang lelaki dari Singapura yang merupakan peminat anime tersebut kemudian bertindak mengikuti rejim senaman yang dikongsikan oleh Saitama dan memperoleh kesan yang menakjubkan.

Sean Seah melalukan senaman 100 Push-ups, 100 Sit-ups, 100 Squats dan berlari sejauh 10 kilometer. Dalam One Punch, Saitama memberitahu bahawa dia mengamalkan senaman berkenaan setiap hari selama 3 tahun berturut-turut.

Bagaimanapun bagi Sean, dia hanya melaksanakan senaman berkenaan untuk tempoh 30 hari yang dibahagikan kepada empat fasa. Ketika memulakannya, Sean memiliki berat badan 70 kilogram dengan sedikit buncit.

Empat fasa berkenaan adalah Level 5 (50 push-ups, 50 sits-up, 50 squats dan lari 5km), Level 7 (70 push-ups, 70 sits-up, 70 squats dan lari 7km), Level 9 ((90 push-ups, 90 sits-up, 90 squats dan lari 9km) dan Level 10 (100 push-ups, 100 sits-up, 100 squats dan lari 10km).

Dalam fasa pertama selepas 7 hari memulakan senaman tersebut, Sean berkongsi bahawa berat badannya turun kepada 67.2 kg. Bagaimanapun, Sean mendapati bahawa tiada kesan ketara pada berat badannya memasuki hari ke-17.

Sean kemudian mengambil keputusan untuk meningkatkan intensiti senaman dengan memasuki level 7 pula. Hasilnya memberansangkan dan dia mengambil keputusan untuk naik kepada Level 9 pada hari ke 22.

Pada hari ke 23, barulah Sean mengamalkan sepenuh rejim senaman Saitama iaitu Level 10 sehingga hari ke 30. Hasilnya memang menakjubkan.

Sean berjaya mengurangkan sebanyak 5 kg berat badan dan memperoleh bentuk badan yang jauh berbeza berbanding hari pertama dia memulakan rejim senaman Saitama tersebut.

Bagi memastikan bentuk dan berat badan tersebut kekal, Sean berkata dia akan mengamalkan senaman berkenaan 3 atau 4 kali seminggu dan menambah latihan di gym.

Saksikan video dibawah yang dimuat naik oleh Sean.

Sumber: Sean Cheah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.