Siakap Keli

46 Lokasi Potensi Berlaku Pencemaran Di Pasir Gudang – Menteri

Sebanyak 46 lokasi baharu dikenal pasti berpotensi berlakunya pencemaran di Pasir Gudang susulan daripada pemantauan pihak berkuasa menggunakan data satelit untuk mengesan punca dan sumber kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin ketika membentangkan laporan terperinci oleh Jawatankuasa Saintifik mengenai pencemaran sungai berkenaan.

“Bagi 46 lokasi itu, saya tiada angka sekarang, antaranya adalah tempat pelupusan sampah domestik, di mana akan dikendali oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan yang satu lagi adalah tempat (pembuangan) sisa berjadual,” kata beliau kepada pemberita di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Dato Jaafar Muhamad di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada 46 lokasi itu akan turut dibersihkan, Yeo berkata ia adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

“Yang ini saya akan serahkan kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk tindakan,” kata beliau yang menambah senarai lokasi berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk mengambil langkah seterusnya.

Ketika ditanya mengenai lokasi baharu seperti Sungai Selangkah dan Sungai Masai, Yeo mengesahkan lokasi-lokasi berkenaan telah dikenal pasti sebagai bukan sumber keracunan di Sungai Kim Kim.

Sebagai usaha jangka panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang, beliau berkata satu Jawatankuasa Penilai akan ditubuhkan bagi melihat sungai-sungai tercemar bukan sahaja di Pasir Gudang malah di semua kawasan perindustrian di seluruh negara.

“Apa yang dilakukan di sini, akan dilakukan di kawasan perindustrian-perindustrian lain di Malaysia. Apa yang kita pelajari mengenai isu ini adalah kita kena memperkukuhkan lagi prosedur operasi standard (SOP), macam mana kita boleh memperkukuhkan operasi kita untuk menjaga kualiti alam sekitar,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata adalah penting untuk memperkasakan jentera di bawah agensi-agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan pada masa hadapan.

— BERNAMA

Nur Farra