Lima hari sudah berlalu. Kejadian menyayat hati serangan terhadap umat Islam ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang menggemparkan seisi dunia. Mengenangkan semua mangsa yang ditembak dengan kejam, ramai yang tidak menahan emosi antara marah dan sebak.
Kejadian terburuk dalam sejarah New Zealand itu pastinya meninggalkan kesan trauma terhadap umat Islam terutamanya mereka yang berada di kawasan sekitar. Tetapi, apa yang dilakukan oleh rakyat negara itu dalam mengharungi dugaan ini bersama-sama umat Islam tanpa mengira agama sangat menyentuh hati.
Seorang pelancong Malaysia yang kebetulan berada di sana ketika ini, Wafi Shaik, menceritakan pengalamannya sendiri berdepan dengan ‘ketulusan dan kebaikan hati’ warga New Zealand.
Bukan sahaja beliau disapa dengan penuh sopan dan kelembutan, namun pelukan oleh seorang lelaki warganegara itu yang memberikan kata semangat dan berulang kali meminta maaf kepadanya sebagai umat Islam sangat menyentuh perasaan. Ikuti pengalaman beliau seperti di bawah. Sebak!
Harini aku pergi menjenguk di perkarangan Masjid An-Noor, Christchurch. Yang dimana berlakunya tragedi hitam yang melibatkan kira-kira 50 orang yang terbunuh.
Buat masa sekarang, Masjid An-Noor masih tidak boleh untuk dilawati. Penuh dengan kawalan polis dan sidang media membuat liputan disini. Hanya dibenarkan melawat di perkarangan masjid sahaja.




Sayu. Tidak mampu untuk aku menghuraikan perasaan aku dengan kata-kata. Sangat sedih, rasa hiba dan kecewa. Moga Allah membalas para syuhada yang terbunuh ini dengan syurga.
Aku memerhati, keadaan sekeliling aku. Masyarakat New Zealand disini berborak dan menenangkan orang Islam yang datang menjenguk kawasan perkarangan masjid ini.


Aku tidak terkecuali. Ketika aku sedang meratapi dan membaca kata-kata semangat berserta bunga-bunga yang diberikan oleh masyarakat mereka, seorang lelaki warga New Zealand menyapa aku.
Beliau memberi kata-kata semangat dan menyatakan bahawa beliau sangat sedih perkara ini berlaku.
Ayat yang masih terngiang-ngiang dari beliau ialah,
“You’re not alone, we facing this together”
Sebelum aku beredar, beliau memeluk erat aku dan berungkali berkata,
“I’m sorry this were happened to all of you”
Begitu lembut sentuhan mereka, menusuk ke dalam jiwa. Oh indahnya perasaan di hati. Terasa disayangi dan tidak bersendirian.
Aku akhiri cerita aku dengan gambar-gambar di perkarangan masjid An-Noor. Juga disertakan dengan kata-kata semangat dan jambangan bunga sokongan dari komuniti di New Zealand.
Innalillah wa inna ilaihi rajiun. Tenanglah kamu disana para syuhada yang terlibat didalam pembunuhan kejam di Masjid An-Noor dan Masjid Linwood.
Semoga perakhiran hidup kita juga berakhir dengan sebaik-baik pengakhiran.
Al- Fatihah.
Wafi Shaik
Masjid An-Noor
Christchurch
20 March 2019
Sumber : Wafi Shaik