Siakap Keli

Arwah Meracau Pada Malam Kejadian Semasa Di IJN – Bapa

Shah Alam : Bapa anggota bomba, arwah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa anaknya  meracau semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara  (IJN) selepas kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lepas.

Mohd Kassim, 64, seorang petani berkata seorang jururawat yang bertugas pada waktu  malam hari kejadian, memaklumkannya bahawa arwah dalam keadaan meracau.

“Kira-kira pukul 3 pagi, jururawat memberitahu saya Adib meracau trauma. Saya pun pergi jumpa Adib yang berada dalam keadaan trauma,  saya menenangkan arwah. Alhamdullilah, dia pun tenang sikit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peguam Shazlin Mansor yang mewakili keluarga arwah, Kementerian Perumahan  dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga Bomba dalam inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

Ketika menceritakan detik-detik bersama anaknya, saksi itu berkata beliau melihat arwah di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) kali pertama dalam keadaan teruk di mana seluruh badannya bengkak selain terdapat kesan calar di jari tangan kiri dan kanan.

Katanya, selepas arwah dipindah ke IJN, arwah kelihatan lebih baik dan sembuh, sehingga boleh memberi respons kepada soalan yang diajukan kepadanya.

“Ada masa, arwah menulis di papan putih, bertanyakan khabar, perbelanjaan ibu, ada sekali dia menulis nama tunangnya. Saya faham bahawa dia nak jumpa tunang dia, maka kami pun bawalah tunangnya untuk berjumpa arwah.

“Dia juga pernah menulis mahu balik ke kampung untuk mendapatkan rawatan, namun saya memberitahu dia, inilah (IJN) tempat yang terbaik untuk menerima rawatan kerana ada doktor pakar…dia pun dapat menerima,” katanya dan menambah semasa mengusap rambut arwah beliau mendapati ada benjolan di bahagian belakang kepala arwah.

Saksi  itu juga berkata, keluarganya berharap sangat arwah yang merupakan anak kedua daripada empat orang anaknya akan sembuh secepat mungkin.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali inkues, saksi yang dipanggil dengan nama gelaran ‘Pak Kassim’ berkata beliau tidak pernah bertanya bagaimana arwah mengalami kecederaan.

“Saya tak pernah tanya, saya tahu dia trauma, saya tak nak susahkan dia, sebab itu saya tak tanya,” katanya.

Ditanya Hamdan adakah pada bila-bila masa arwah secara sukarela memberitahu macam mana beliau cedera saksi itu menjawab ‘tak pernah’.

Menceritakan perwatakan arwah, saksi  itu berkata arwah merupakan seorang pendiam dan sering memberi bantuan dari segi kewangan selain memberi bantuan dari segi tenaga dengan bersawah.

Warga emas itu yang kelihatan tenang juga memberitahu beliau menuntut keadilan untuk kematian anaknya dengan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang merancang dan terlibat dalam rusuhan sehingga menyebabkan kematian arwah.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.