Siakap Keli
Gambar : Bernama

Bantuan Makanan Kepada Mahasiswa Jika Peruntukan Mencukupi – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Kerajaan bersedia menyalurkan bantuan makanan kepada penuntut universiti awam sekiranya mempunyai peruntukan kewangan mencukupi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebajikan mahasiswa terjaga dalam pelbagai aspek.

“Kita akan cuba. Kalau kita ada duit banyak kita boleh beri ‘full meal’ kepada semua orang tetapi duit kita telah dicuri.

“…Dan orang yang curi duit itu sekarang ini jadi bos mereka…bos orang tertentu… jadi sukar kita nak urus. Mungkin duit yang dicuri itu ada di mana kita tak tahulah… bawalah balik bagi kepada penuntut-penuntut ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa ada dalam kalangan mahasiswa sebuah universiti terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan dan mereka yang terpaksa berdepan dengan situasi itu kebanyakannya daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pihak berkuasa sentiasa mengawasi keselamatan persekitaran masjid di seluruh negara bagi mengelak sebarang kejadian buruk.

“Kita selalu mengawasi masjid tetapi kita tahu jumlah masjid ini banyak. Kita juga tahu jumlah kuil juga banyak jadi kita bergantung kepada akal fikiran penduduk negara ini,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini dilaporkan berkata anggota polis diarah memantau kuil dan gereja di negara ini susulan insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas yang mengakibatkan 50 orang maut dan puluhan lain cedera termasuk tiga rakyat Malaysia.

Tegas Dr Mahathir: “Jangan ambil tindak balas kerana kalau kita ambil tindak balas, orang lain akan ambil tindak balas di tempat lain pula, jadi kita akan hadapi masalah berpanjangan.

“Sebab itu dari segi ‘common sense’ (ikut akal fikiran) janganlah kita cuba balas dendam. Balas dendam akan mengundang balas dendam lain,” kata beliau.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.