Siakap Keli

Penduduk Felda Chini Tunai Solat Istisqa’ Mohon Hujan

Lebih 700 penduduk daripada lapan gugusan Felda di sekitar kawasan Chini hari ini mengambil insiatif menunaikan solat istisqa’ di Padang Awam Felda Chini 4, di sini bagi memohon kepada Allah SWT supaya menurunkan hujan bagi mengatasi masalah kemarau yang sedang melanda negara.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Abdul Haris Abdul Karim.

Abdul Haris , 47, berkata solat sunat ini adalah sebagai ikhtiar kita bagi memohon supaya hujan turun dan memulihkan bekalan air di kawasan ini yang di catu dan tidak menentu.

“Kami bersama lapan Felda iaitu Felda Chini 1, 2, 3, 4, dan 5 serta Felda Chini Timur 1, 2, dan 3 telah bergabung untuk menjayakan solat sunat pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas solat sunat  itu yang bermula 8.15 pagi tadi dan berakhir kira-kira 35 minit kemudian.

Beliau berkata kemarau yang dialami ini sedikit  sebanyak menjejaskan  aktiviti seharian penduduk.

Sementara itu, penduduk Felda Chini 2 Hashim Awang Nong, 69, berkata solat sunat ini pernah diadakan pada 2015 yang ketika itu turut mengakibatkan gangguan bekalan air disebabkan El Nino.

“ Bagaimanapun gangguan bekalan air pada masa itu tidak seteruk tahun ini. Tahun ini gangguan bekalan air yang dihadapi lebih lama berbanding sebelumnya” katanya.

Penduduk Felda Chini 4, Robiah Ishak, 64, pula berharap  dengan berkat solat sunat itu yang diadakan itu  dapat mengubah kembali keadaan cuaca dan memulihkan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk di sekitar kawasan Chini.

“Cuaca panas menyebabkan bekalan air di catu dan ada kawasan terutamanya kawasan yang tinggi tidak mendapat bekalan air langsung, manakala kawasan rendah pula mendapat bekalan pada waktu malam sahaja,” katanya.

Penurunan paras air di Sungai Mentiga berikutan musim cuaca panas menyebabkan ribuan penduduk di Gugusan Felda Chini berdepan masalah gangguan bekalan air.

Difahamkan loji bagi menyalurkan air terawat dari sungai berkenaan kepada penduduk sekitar tidak dapat beroperasi berikutan paras air yang menurun menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.

— BERNAMA

Nur Farra