Siakap Keli
Gambar: MSN.com

Saya Amat Bangga Menjadi Rakyat New Zealand Serta Seorang Penganut Islam – Sonny Bill Williams

Pemain bintang pasukan ragbi New Zealand yang juga merupakan seorang penganut agama islam, Sonny Bill Williams, ditemui hari ini hadir ke upacara perkabungan serta solat jumaat untuk menenangkan saudara mara serta kenalan mangsa yang terlibat dalam serangan di masjid Christchurch pada minggu lalu.

Menurut Sonny, solat jumaat yang diadakan di Hagley Park ini telah mempamerkan banyak nilai-nilai murni seperti ikatan perpaduan, keamanan serta kasih sayang sesama manusia.

“Saya rasa itu yang semua orang mahukan. Selepas apa yang saya saksikan pada hari ini, saya berasa amat bangga sekali menjadi rakyat New Zealand serta seorang penganut agama islam.” Ujar Sonny.

“Saya hadir disini bukan sahaja untuk menunjukkan sokongan saya, malahan tujuan utama saya hadir ke sini adalah untuk memberi kata-kata semangat kepada semua yang terkesan dan membantu mereka untuk melupakan tragedi yang amat pahit untuk ditelan ini dengan memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Saya turut hadir kesini kerana ingin menyampaikan mesej tentang isu perkauman, kebencian serta ingin mendiamkan orang yang menyokongnya.” Tambahnya lagi.

Sonny menyatakan bahawa, serangan pada jumaat lalu yang menyasarkan golongan muslim dalam sebuah negara yang aman damai seperti New Zealand ini telah mencerminkan kecetekan ilmu serta kurangnya kesedaran ke atas sebuah agama yang cintakan keamanan.

“Ramai yang tidak tahu tentang apa itu islam dan apa yang di tuntut oleh islam sebenar-benarnya. Dalam sesebuah masyarakat, orang islam khususnya telah di pandang secara negatif dan secara tidak langsung, ianya telah meresap ke dalam fikiran orang lain, sama ada mereka sedar atau pun tidak.

“Oleh sebab itu, ianya telah menyemai benih kebencian untuk fahaman ekstrim berhaluan kanan ini untuk bertindak sedemikian, dan ianya amat menyedihkan. Akan tetapi, dengan kebencian lahirnya harapan, itulah yang patut kita ketengahkan, dan itulah juga tujuan program ini dilakukan pada hari ini.” Katanya.

Pada jumaat lalu, Sonny telah memuat naik satu video di dalam akaun Instagramnya yang menyaksikan beliau sedih apabila mengetahui tentang serangan yang tidak dijangkakan yang telah mengorbankan 50 nyawa di Christchurch itu. Di dalam video tersebut, beliau menyeru kepada semua orang supaya mendoakan tentang kesihatan serta ketenteraman untuk keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan terbabit.

Sumber: stuff

Aqmal Ezany

I write what is right