Siakap Keli

Ejaan Salah, Hanya Gimik – Lembaga Air Perak

Lembaga Air Perak (LAP) hari ini menjelaskan penggunaan singkatan ejaan pada kain rentang dan gegantung bersempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri hanyalah gimik bagi menarik perhatian orang ramai khususnya generasi muda.

Pengurus Besar LAP Datuk Mohd Yusof Mohd Isa berkata gimik itu dibuat selepas mengambil kira trend generasi muda kini yang gemar menggunakan singkatan dalam ejaan khususnya menerusi media sosial.

“Itu bukan salah eja, itu stail netizen sekarang yang suka buat ejaan (singkat),” katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan yang dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari, di sini.

Beliau diminta mengulas kritikan netizen hari ini yang mempersoalkan ejaan pada kain rentang yang disifatkan mereka sebagai ejaan untuk komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp atau WeChat.

Mesej pada kain rentang dan gegantung berkenaan ditulis “PNGUNA BJAK SNTIASA BRJMAT” (Pengguna Bijak Sentiasa Berjimat) dan digantung di luar perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sementara itu, pejabat Menteri Besar ketika dihubungi memberitahu mengambil maklum mengenai gaya pengunaan ejaan tersebut dan menyatakan ia adalah gimik bertujuan menimbulkan kesedaran mengenai kempen menjimatkan air.

— BERNAMA

Nur Farra