Siakap Keli

Sekurang-Kurangnya 93 Maut Feri Karam Di Mosul

BAGHDAD, 22 Mac (Bernama) — Seramai 93 maut dalam kejadian feri karam di Sungai Tigris, utara bandar Mosul pada Khamis petang, yang turut mencetuskan kemarahan di kalangan penduduk Iraq, lapor agensi berita Xinhua.

Kemalangan dipercayai akibat paras air tinggi ketika feri malang itu menyeberangi sungai menuju ke sebuah pulau pelancongan kecil Um al Rabeein di utara Mosul, kira-kira 400 kilometer di utara ibu kota Baghdad.

Menurut sumber pertahanan awam, feri milik pejabat pelancongan itu dinaiki lebih 100 penumpang, melebihi muatan sepatutnya iaitu kira-kira 30 orang.

“Operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan kemungkinan lebih ramai mangsa,” kata jurucakap kementerian, Saad Maan dalam satu kenyataan.

Setakat ini jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan, ujarnya.

Sementara itu, kenyataan sebuah badan perundangan di Iraq, menyebut mahkamah siasatan Mosul telah mengeluarkan waran tangkap ke atas sembilan pekerja syarikat pelancongan terbabit.

“Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap pemilik feri dan pemilik pulau itu,” kata kenyataan itu.

Beberapa jam selepas kejadian, Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi turut melawat lokasi kejadian.

“Semua wilayah di Iraq, kedutaan dan perwakilan diplomatik Iraq di luar negara akan berkabung selama tiga hari mulai Khamis,” katanya.

Abdul Mahdi turut melawat hospital di mana mangsa menerima rawatan.

“Sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk mengenal pasti punca nahas dan mereka yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

— BERNAMA

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu