Siakap Keli

(Video) Laungan Azan Di Christchurch, Lautan Manusia Penuhi Setiap Pelusuk Hagley Park

Sekurang-kurangnya 50,000 orang telah datang berkumpul sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa serangan pengganas Chritchurch sebentar tadi.

Orang ramai telah hadir sebelum solat Jumaat hari ini tepat seminggu selepas 50 mangsa disahkan terbunuh dalam serangan dua buah masjid di New Zealand.

Sesi bertafakur selama dua minit turut dijalankan di sekitar pusat Hagley di Chritchurch sebelum solat jumaat dilaksanakan.

Keheningan terpancar dari wajah para hadirin yang hadir melalui siaran langsung yang disiarkan menerusi beberapa stesen televisyen dan radio tempatan.

Ardern, perdana menteri New Zealand turut hadir pada majlis yang diadakan kurang daripada 500 meter dari Masjid Al Noor, di mana 42 orang telah ditembak, memetik hadis Rasullulah, Nabi Muhammad SAW kepada orang ramai,

“Apabila mana-mana bahagian badan menderita, seluruh tubuh merasakan kesakitan,” kata Ardern, memakai tudung hitam.

Imam Gamal Fouda, turut meluahkan rasa sedih dan syukur diatas tragedi berdarah yang telah berlaku.

“Hari ini, dari tempat yang sama, saya melihat kasih sayang dan belas kasihan di mata ribuan orang di New Zealand seluruh dunia,” kata Fouda.

“Kita telah menunjukkan bahawa New Zealand tidak dapat dipecahkan, dan dunia dapat melihat cinta dan perpaduan yang terpancar.  Kita bersedih, tetapi kita tidak akan berpecah.”

Rata-rata yang hadir bukan sahaja daripada komuniti tempatan tetapi dari seluruh dunia.

Kasut yang disusun menunjukkan baris yang sangat panjang, membuktikan jumlahnya tidak mampu dikira.

Salah seorang hadirin yang hadir, Imran Khan yang tiba dari Auckland awal tadi memberitahu media, “Saya hadir untuk tunjukkan rasa hormat dan sokongan saya  buat kawan saya yang terkorban, Ashraf Azad dan keluarga.  Azad antara yang terbunuh dalam serangan minggu lalu.”

“Bila saya tengok masjid itu, saya tak dapat nak gambarkan apa yang berlaku kepada mereka,” kata Khan dengan suara menggeletar penuh emosi.

“Tapi, sokongan yang kita dapat sepanjang tragedi ini sangat luar biasa.  Ia menunjukkan bahawa agama bukanlah isunya, tapi cinta dan perpaduan membuatkan kita semua disini.”

“Hari ini adalah hari istimewa untuk hati kami, mereka yang terkorban akan tetap ‘berdiri’ bersama.” tambahnya.

Halaman depan surat khabar New Zealand hari ini

Halaman depan surat khabar Otago dan Dominion hari ini

Keadaan sekitar perhimpunan Solat Jumaat pagi tadi

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan rombongannya tiba sebelum solat Jumaat.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menghadiri solat Jumaat di Hagley Park di luar masjid Al Noor.
Zaid Mustafa, berkerusi roda antara yang cedera dalam pembunuhan beramai-ramai masjid itu. Bapa dan adiknya yang terbunuh tiba untuk solat Jumaat.

Sumber: Al Jazeera, The Guardian

Nur Farra