Siakap Keli

Ini Merupakan Perbuatan Pengganas Yang Boleh Mengancam Nyawa – Mufti Perlis

Semalam heboh diperkatakan tentang insiden Honda Accord yang digunakan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin terbakar. Menurut laporan Bernama, kereta rasmi Mufti Perlis itu rosak teruk dipercayai akibat perbuatan khianat yang dilakukan oleh individu tidak dikenali pada jam 5.45 pagi di kediamaannya.

Ketua Polis Perlis Datuk Mushar Noor Mohd  juga berkata bahawa kereta hitam berkenaan mengalami kebakaran pada bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri selain cermin belakang dan depan dipecahkan.

Dr Maza turut memuat naik hantaran tentang insiden berkenaan di laman Facebooknya

Gambar : DrMAZA.com

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Bomba dan PDRM yang membantu menyiasat kes kebakaran tersebut. Malah Dr Maza turut menjelaskan bahawa beliau menyedari perkara itu (kebakaran kereta) pada waktu pagi ketika mahu menunaikan solat.

Beliau juga berkata bahawa kereta itu sebenarnya sentiasa berada di pejabat namun tidak pada hari kejadian (semalam).

“Takdir Allah beberapa hari ini saya parking di rumah selepas program sebelah malam. Rumah saya pula memang tidak menutup pagar sejak dahulu. Ini bagi membolehkan orang masuk terus ke pintu. Apatahlagi loceng rumah sudah lama rosak.”

“Setakat ini pihak Forensik Bomba yang bertungkus lumus dari awal pagi memaklumkan kepada saya sebentar tadi bahawa siasatan awal mereka tidak menjumpai sebarang unsur sabotaj. Menurut mereka kemungkinan kebakaran berlaku dari dalam enjin di bahagian bateri.”

Gambar : DrMAZA.com

Terbaru, sebuah entri di muat naik oleh Dr. Maza pagi tadi telah menerima pelbagai reaksi dari pengguna laman terbabit. Hal ini demikian kerana beliau telah membuat kesimpulan bahawa kejadian semalam adalah disebabkan perbuatan yang boleh mengancam nyawa.

Menurut hantaran itu,

“Sekali lagi amat menghargai pasukan BOMBA dan juga PDRM yang bertungkus lumus sejak semalam.Pasukan forensik BOMBA dari Perlis dan Putrajaya baru sahaja meninggalkan kawasan rumah setelah masuk waktu Subuh. Semalaman mereka bertungkus lumus.”

“Setelah saya melihat CCTV, maka saya menyimpulkan ini merupakan perbuatan PENGGANAS atau TERRORIST yang boleh mengancam nyawa. Marilah kita berdoa agar dua individu yang disebutkan oleh Ketua Polis Perlis yang dirakam oleh CCTV itu segera ditangkap.”

“Sekalipun jika selepas ini saya akan menaiki Kancil kerana kereta dibakar, tapi in sha Allah, semoga Allah bantu, semangat saya tetap Singa. Allahu Akbar.”

Allah Maha Berkuasa. PadaNYA kembali segala urusan.

Sumber : DrMAZA.com

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.